0 Pakatan Rakyat tidak akan sertai PSC Lynas



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji isu kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan, menghangatkan Dewan Rakyat, pagi ini.

Selepas perbahasan itu, ahli parlimen pembangkang yang tidak sependapat dengan rakan BN mereka.

NONE
Mereka mendakwa, tindakan kerajaan menubuhkan PSC itu hanya cubaan menutup keburukan terhadap pusat nadir bumi milik syarikat Australia itu.

"Kami harap dapat ambil bahagian (dalam PSC), tetapi tiada makna...

"Kalaupun PSC isytihar ia berbahaya, pentadbiran BN akan memanipulasi situasi itu," kata Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) kepada pemberita di lobi Parlimen.

Sebelum itu, ketika perbahasan, Harakahdaily melaporkan Dr Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mencelah hujah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoalkan tentang keperluan penubuhan PSC memandangkan terdapat kenyataan daripada bakal pengerusi PSC, Datuk Seri Khalid Nordin berkenaan projek itu.

"Hari ini kita berbincang tentang keperluan projek Lynas, tapi sudah ada kenyataan daripada menteri bahawa penubuhan PSC adalah untuk mengubah tanggapan negatif rakyat terhadap projek tersebut.

NONE
“Belum apa-apa lagi, sudah ada kenyataan. Jadi, untuk apa PSC ditubuhkan kalau memang kerajaan hendak teruskan juga projek ini?" soal beliau.

Perbahasan terus hangat apabila ahli parlimen BN dan Bebas cuba mengaitkan ketiadaan pakar nuklear daripada PAS, iaitu Dr Che' Rosli Che' Mat (PAS-Hulu Langat) di dewan hingga menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya berdiam diri sehingga beberapa tempoh sebelum meminta wakil rakyat duduk di tempat masing-masing.

"Jika benar PAS ikhlas, saya cabar PAS mencalonkan Ahli Parlimen Hulu Langat untuk disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa yang akan ditubuhkan. Jika tidak disenaraikan, ianya dianggap sandiwara semata-mata," kata Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika berbahas.

Dalam pada itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mendakwa penubuhan PSC ini hanya untuk memberikan gambaran indah-indah, sedangkan Lynas ini penuh dengan masalah.

NONE
Selain itu beliau meminta segala yang berkaitan projek itu di Gebeng, Kuantan dihentikan sehingga satu keputusan mengenai penubuhan PSC ini diputuskan.

Manakala, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), ketika berbahas melahirkan kekecewaan apabila rakyat Malaysia hanya tahu mengenai projek itu setelah hampir 95 peratus projek berkenaan selesai.

"Inilah kerajaan yang mengutamakan rakyat apabila projek sudah 95 peratus siap, baru rakyat tahu mengenainya. Itupun melalui laporan New York Times," kata beliau.

Malaysiakini/-

[Read More...]


0 P'raya telus: PSC Pakatan kesal dolak dalik SPR



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) Penambahbaikan Sistem Pilihan raya Pakatan Rakyat kesal dengan sikap berdolak dalik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberi komitmen melaksanakan pilihan raya yang telus.

Melihat daripada maklum balas SPR dalam siri pertemuan sebelum ini, Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkataSPR seperti tidak berminat untuk melaksanakan penambahbaikan sistem pilihan raya negara.

Katanya, SPR masih berdegil dan enggan membersihkan daftar pemilih yang masih kotor selepas PRU-12 lalu.

"Sehingga kini kami berpendirian cadangan itu tidak dapat dilaksanakan SPR sepenuhnya. Daftar pemilih ini dibuat bagitu terancang," katanya.

Katanya, Pakatan Rakyat akan mendapatkan pengesahan sekali lagi SPR dalam mesyuarat PSC yang akan berlangsung petang ini sama ada bersedia atau tidak.

Malah katanya, dalam kes 40,000 daftar pemilih yang meragukan sebelum ini SPR telah berjanji untuk mengeluarkan nama tersebut malangnya hingga kini masih gagal dilakukan.

"SPR buat keterangan palsu, tuntut supaya komitmen SPR dalam pertemuan terakhir petang ini sebelum SPR membuat keputusan muktamad," katanya.

Tambahnya, alasan SPR bahawa daftar pemilih yang diwartakan tidak boleh dirombak adalah alasan yang tidak konsistan.

"40,000! mereka bersedia untuk bersihkan, peruntukan mana yang dipakai?

"Di rumah mak saya di Klang Gate ada 10 nama, tetapi SPR boleh bersihkan," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, satu pertemuan mengejutkan apabila Mimos mendedahkan hampir 80,000 pengundi tidak ada alamat di seluruh negara.

"Misalnya di Johor Bharu, lokaliti Desa Melayu Majidi tanpa ada alamat khusus mempunyai 127 pengundi. Di Selangor Parlimen Kota Raja, lokaliti di Batu 7 Jalan Kebun mempunyai 639 pengundi," katanya.

Katanya, Pakatan Rakyat menuntut agar SPR perlu bertindak sekiranya tidak, PSC yang ditubuhkan tidak memberikan apa-apa makna kerana objektif penambahbaikan tidak tercapai.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, jumlah pengundian awal telah bertambah 100,000 di mana menjadikan seramai 240,000 termasuk anggota keselamatan.

Penambahan itu, katanya adalah pengundi baru termasuk kakitangan SPR yang mengendalikan pilihan raya di seluruh negara.

"Jika 100 ribu kakitangan SPR tidak melakukan pengundian awal kemungkinan mereka akan mengundi pada hari pengundian, di sini berlaku ketidakadilan," katanya.

Justeru katanya, jawatankuasa penambahbaikan tidak memberi apa-apa makna jika sikap SPR tidak menyatakan spesifik kenapa mereka tidak boleh membersihkan daftar pemilih dan keraguan pengundian awal.

Mereka bertiga berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Pembangkang, Parlimen sebelum sesi mesyuarat PSC berlangsung petang ini.

HARAKAHDAILY/-
[Read More...]


0 Ahli perniagaan buat eksperimen najis panda



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

AN YANSHI yang memakai kostum kepala beruang panda menolak najis haiwan itu dari sebuah lori di ladang teh miliknya di Ya'an pada Sabtu lalu.

YA'AN - Seorang ahli perniagaan, An Yanshi menggunakan najis beruang panda sebagai baja untuk ladang teh miliknya di sini.

Dia menjadikan baja itu sebagai bahan eksperimen untuk membesarkan pokok teh hijaunya.

Ahli perniagaan itu juga akan menjual satu cawan teh hijau yang dibaja dengan najis tersebut pada harga AS$200 (RM611.43).

Yanshi memperoleh bekalan najis tersebut dari sebuah pusat pembiakan haiwan itu yang terletak berhampiran ladangnya. - Reuters
[Read More...]


0 Dewan kecoh: Pakatan persoal PSC Lynas



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji kes Lynas menghangatkan Dewan Rakyat, pagi ini.

Ia bermula apabila berlaku percanggahan pendapat di antara ahli parlimen kerajaan dan Pakatan Rakyat yang masing-masing mempertahankan hujah mereka.

Dr. Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) ketika mencelah hujah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoalkan tentang keperluan penubuhan PSC ini memandangkan terdapat kenyataan daripada bakal Pengerusi PSC, Datuk Seri Khalid Nordin berkenaan projek Lynas.

"Hari ini kita berbincang tentang keperluan projek Lynas, tapi sudah ada kenyataan daripada menteri bahawa penubuhan PSC ini untuk mengubah tanggapan negatif rakyat terhadap projek tersebut. Belum apa-apa lagi, sudah ada kenyataan. Jadi, untuk apa PSC ditubuhkan kalau memang kerajaan hendak teruskan juga projek ini?" soal beliau.

Perbahasan terus hangat apabila ahli parlimen BN dan Bebas cuba mengaitkan ketiadaan pakar nuklear daripada PAS, iaitu Dr. Che' Rosli Che' Mat (PAS-Hulu Langat) di dewan hingga menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya berdiam diri sehingga beberapa tempoh sebelum meminta wakil rakyat duduk di tempat masing-masing.

"Jika benar PAS ikhlas, saya cabar PAS mencalonkan Ahli Parlimen Hulu Langat untuk disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa yang akan ditubuhkan. Jika tidak disenaraikan, ianya dianggap sandiwara semata-mata," tegas Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika berbahas.

Dalam pada itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mendakwa penubuhan PSC ini hanya untuk memberikan gambaran indah-indah, sedangkan Lynas ini penuh dengan masalah.

Selain itu beliau meminta segala yang berkaitan projek itu di Gebeng, Kuantan dihentikan sehingga satu keputusan mengenai penubuhan PSC ini diputuskan.

Manakala, Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), ketika berbahas melahirkan kekecewaan apabila rakyat Malaysia hanya tahu mengenai projek itu setelah hampir 95 peratus projek berkenaan selesai.

"Inilah kerajaan yang mengutamakan rakyat apabila projek sudah 95 peratus siap, baru rakyat tahu mengenainya. Itupun melalui laporan New York Times," kata beliau.

Sambil menegaskan projek berkenaan dibimbangi mendatangkan kesan dari sudut kesihatan, Dzulkefly berkata sedangkan oksigen sendiri jika berlebihan akan memberi kesan langsung kepada kerosakan retina yang boleh mencacatkan penglihatan, inikan pula bahan radioaktif yang menjadi soal pokok isu ini.

Sementara itu, di luar dewan ketika ditemui pemberita, Dzulkefly dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) 'disapa' James Dawos Mamit (BN-Mambong) yang mengajak mereka berbincang secara bersemuka tentang isu tersebut dengan nada emosi.

Biarpun beberapa kali ditenangkan Fuziah dan Dzulkefly, tindakan James yang menuding jari ke arah Dzulkefly menyebabkan pakar toksikologi itu menghentikan kenyataan kepada pemberita dan meminta James bertenang.

Sambil mengiringi James ke kereta, Dzulkefly terus bersoaljawab dengan James sambil diperhatikan petugas media dan parlimen.

Ketika ditanya perasaannya apabila dilakukan sedemikian, Dzulkefly berkata beliau tidak mengambil serius tentang perkara tersebut kerana beranggapan semua orang beremosi apabila berbicara tentang isu Lynas tersebut.

Keputusan mengenai penubuhan jawatankuasa terpilih itu akan disambung pada 2.30 petang ini dengan menteri menjawab segala perkara yang dibangkitkan.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengemukakan usul berkenaan penubuhan PSC, di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Turut menyertai perbahasan tersebut ialah Hamim Samuri (BN-Ledang), Fuziah Salleh (PKR-Kuantan), Datuk Haron Idris (BN-Tangga Batu), Charles Santiago (DAP-Klang), Datuk Ismail Muttalib (BN-Maran), dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam).

harakahdaily/-
[Read More...]


0 Mukjizat AlQuran: AL-QURAN MERUNGKAI CARA MENGESAN PEMBOHONGAN



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Subhanallah, sangat luar biasa. Itu sahaja yang dapat saya ungkapkan selepas mendapat tahu hal ini. Siapa sangka pada waktu seribu tahun++ dahulu tanpa teknologi canggih, Al-Quran telah membongkar cara bagiamana mengesan pembohongan melalui ayat yang sangat pendek tapi memberi makna yang sangat jelas.

Sebelum saya paparkan apakah ayat tersebut, ingin saya kongsikan bersama anda tentang suatu kaedah yang digunakan pada masa kini untuk mengesan pembohongan. Kaedah tersebut menggunakan pengimejan ke atas otak melalui getaran magnetic atau lebih dikenali sebagai fMRI. Kaedah tersebut dapat mengesan gerak balas yang berlaku ketika otak sedang melakukan penipuan. Bukan itu sahaja, melalui kaedah ini alat mengesan pembohongan dapat diwujudkan.

Terdapat banyak kawasan unik dalam otak yang terlibat dalam penipuan dan percakapan benar yang boleh dikesan melalui kaedah fMRI. Ujikaji Ke atas Ubun-Ubun Otak Manusia. Fakta mengesahkan, dalam otak seorang yang sedang melakukan pembohongan terdapat tujuh kawasan yang aktif tetapi dalam otak orang yang bercakap benar, terdapat hanya 4 kawasan yang aktif. Mengapa hal ini berlaku?. Bagi melakukan pembohongan, otak perlu berusaha lebih keras lagi bagi mengaktifkan kawasan-kawasan yang bergerak balas dalam otak untuk menjana idea-idea dusta berbanding dengan bercakap benar.

Ketika proses pendustaan sedang berlaku, bahagian hadapan otak yang mana terletaknya kawasan ubun-ubun akan bertindak balas yang melalui bahagian medial inferior, pre-central area, hippocampus, temporal tengah dan juga kawasan limbic. Begitu juga ketika bercakap benar, terdapat juga aktiviti di bahagian otak hadapan iaitu temporal lobe dan cigulate gyrus. Ubun-ubun yang Menipu Menurut Al-Quran

Sekarang adalah masanya untuk saya kongsikan keajaiban Al-quran bersama anda. Kajian demi kajian dilakukan dengan susah payah sedangkan dalam Al-Quran telah membuktikan hal ini. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Alaq ayat 15, 16

Ketahuilah, sesungguhnya jika dia tidak berhenti(berbuat demikian) Nescaya Kami tarik ubun-ubunnya (iaitu)ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka.

Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut tentang ayat di atas, saya mohon saudara sudari pembaca mengambil kitab tafsir Al-quran dan rujuk pada ayat yang saya paparkan di atas. Jika saudara melihat ayat tersebut, perkataan (Nasiya) bermaksud ubun-ubun.

Menurut kitab tafsir Ibn Kathir(ubun-ubun yang berdusta) yang dipaparkan dalam ayat tersebut bermaksud, ubun-ubun Abu Jahal menipu dalam percakapan dan perbuatan. Dalam konteks otak, bahagian yang dinamakan sebagai frontel lobe adalah ubun-ubun. Melalui ubun-ubunlah, suatu kebenran atau pembohongan dapat dikenalpasti.

Subhanallah, apa lagi yang boleh kita katakan selain Al-Quran sememangnya diturunkan sebagai panduan kepada seluruh Umat manusia. Berimanlah dengannya dengan sebenar-benar Iman. Insya Allah

Sumber: Muhammad Hidayat Bin Kadersa Merican
[Read More...]


0 Doa keluarga iringi Suhaila ke Dubai



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEPANG – Suasana hiba mengiringi Nur Suhaila Tukijan dan ibunya, Hanita Mohd Tahir apabila keluarga dan sanak saudara turut hadir untuk memberi sokongan kepada mereka yang berlepas ke Dubai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang tadi.

Tiba masanya untuk Nur Suhaila, menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sharjah bagi merawat penyakit ‘Congenital Disorder’ yang dideritainya sejak tiga tahun lalu.

Bagi keluarga Nur Suhaila, mereka memanjatkan doa kepada Maha Pencipta tanpa henti, semoga pembedahan Khamis ini, berjalan lancar tanpa komplikasi.

Nenek Nur Suhaila, Jaharah Said, 64, bersyukur, dugaan Ilahi pada mulanya bagi mengumpul dana membiayai rawatan pembedahan, dapat disediakan hasil keprihatinan dan sumbangan orang ramai.

Dia yang tiba dari Jasin Melaka bersama suaminya, Mohd Tahir Kasim, 68, berterima kasih kepada pelbagai pihak atas doa, kata-kata semangat dan dana bagi cucu kesayangannya menjalani pembedahan.

Saat berangkat pergi, wajah-wajah kesayangan ditatap dan dipeluk erat oleh Hanita dan Nur Suhaila, ke balai perlepasan bagi menaiki penerbangan Emirates, jam 7.30 malam.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai World Central-Al Maktoum jam, 10.30 malam waktu tempatan dan difahamkan ketibaan mereka disambut oleh rakyat Malaysia di sana.

Bagi Hanita, berat kakinya untuk melangkah meninggalkan dua lagi cahaya matanya, namun dirinya perlu menguatkan semangat untuk meninggalkan mereka sementara bagi menemani Nur Suhaila yang lebih memerlukan sokongan moral dan kasih sayangnya.

Bagai mengerti tanggungjawab yang perlu digalas, Nur Shahira Tukijan, 17 anak sulung pasangan Tukijan Abdul Hamid, 46 dan Hanita, akan menjaga adiknya, Mohd Akmal Tukijan,11 dan redha dengan perpisahan sementara itu demi kelangsungan kesihatan adiknya walau mereka tidak pernah berpisah lama.

“Adik dan ibu pergi lama... terlalu lama bagi saya walaupun 10 hari,” luahnya.

Dijangka berada di sana selama 10 hari, perjalanan lebih tujuh jam ke Dubai, hanya dengan satu matlamat supaya Nur Suhaila selamat menjalani pembedahan dan hidupnya kembali ceria seperti dahulu.

Keprihatinan banyak pihak dan individu menyumbang ke Tabung Nur Suhaila juga merealisasikan hasrat Nur Suhaila yang selama ini menderita akibat rahim yang gagal berfungsi, yang dihidapi hanya 180 orang sahaja di dunia.

Yakin dengan kepakaran pakar di hospital itu, Hanita berharap segalanya berjalan lancar dan tiada komplikasi seperti mana kejayaan hospital terbabit merawat kanak-kanak Sudan berumur 13 tahun, sebelum ini.

Sebagai ibu, impiannya hanya mahu Nur Suhaila segera sembuh, kembali ceria dan aktif seperti dahulu.

“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan, walau pada mulanya terasa besar sungguh dugaan ini, Allah mempermudahkan urusan ini. Terima kasih kepada semua pihak, organisasi, orang ramai yang menyumbang ke Tabung Nur Suhaila.

“Tidak lupa juga kepada rakyat Malaysia di Dubai, pakar-pakar perubatan Hospital Universiti Sharjah dan Sinar Harian yang merealisasikan harapan ini,” katanya.

Menurut Hanita, beliau dimaklumkan bahawa Nur Suhaila perlu menjalani rawatan susulan selepas ini di hospital yang sama, sebulan selepas pembedahan.

“Saya dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa Nur Suhaila perlu mendapatkan rawatan susulan di sana, selepas dibedah,” katanya.

Kemungkinan, Hanita akan menetap lebih lama daripada tempoh dijangkakan, melihat kepada kondisi Nur Suhaila selepas pembedahan.

Kisah Nur Suhaila, dilaporkan Sinar Harian 22 Februari lalu, memerlukan RM60,000 bagi kos rawatan pembedahan di Dubai. Nur Suhaila, mempunyai dua buah rahim dan salah satunya tidak berfungsi, dan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam itu hanya mempunyai satu buah pinggang.

Selepas liputan tersebut, Tabung Nur Suhaila mendapat perhatian rakyat Malaysia yang sememangnya tersentuh hati dan prihatin akan nasibnya. Sehingga saat Nur Suhaila berlepas ke Dubai, dana masih lagi diterima hasil sumbangan orang ramai.

sinar harian/-
[Read More...]


0 Anwar saman Utusan, tuntut gantirugi RM100 juta



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

(Laporan muka depan Utusan hari ini)

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ekoran laporan bahawa beliau adalah biseksual, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya telah menghantar notis tuntutan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam notis itu, Anwar menuntut Utusan Melayu(Malaysia) Bhd yang memiliki Utusan Malaysia dan pengarangnya menarik balik berita itu, memohon maaf dan membayar RM100 juta sebagai ganti rugi.

Notis tuntutan yang sama juga dihantar kepada Datuk S. Nallakarupan yang laporkan sebagai sumber berita Utusan itu.

Perkara ini dimaklumkan oleh N Surendran, Naib Presiden PKR dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan dalam laporannya di muka depan hari ini mendakwa, Anwar sebagai biseksual dan tidak boleh menjadi ketua pembangkang.

Bagi Surendran, dakwaan ini palsu sama sekali, mempunyai tujuan politik dan satu laporan yang bersifat politik longkang.

"Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab sepenuhnya atas dakwan jahat oleh akhbar Umno ini," kata Surendran.

Najib sepatutnya menerima tawaran untuk berdebat dengan Anwar tentang polisi dan ekonomi negara tetapi Najib memilih laporan yang paling hina melalui Utusan, kata beliau yang juga seorang peguam.

harakahdaily/-
[Read More...]


0 China Naikkan Harga Diesel & Minyak 600 Yuan



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEIJING: China telah menaikkan harga diesel dan minyak sebanyak 600 yuan (US$94.90) setan tan metrik berkuatkuasa Selasa, demikian diumumkan Suruhanjaya Pembangunan dan Pemulihan Negaranya, Selasa.

Harga diesel meningkat kepada 9,130 yuan (US$1,445.20) setan metrik manakala harga purata minyak meningkat kepada 9,980 yuan (US$1,579.70) setan metrik.

Suruhanjaya itu berkata kenaikan harga itu dibandingkan dengan harga minyak mentah Brent (satu klasifikasi dagangan utama minyak mentah "sweet light"), minyak mentah Dubai dan Cinta, yang meningkat lebih 10 peratus sejak 22 hari bekerja yang lepas.

Kenaikan harga itu berkuatkuasa sebelum tempoh penggunaan kemuncak musim bunga bagi menghalang terlebih penggunaan produk petroleum, menggalakkan pemuliharaan tenaga dan sekali gus menjamin bekalan, katanya.

China, pengguna minyak kedua terbesar di dunia, telah menaikkan harga bahan api bagi pertama kali tahun ini sebanyak 300 yuan setan metrik pada 8 Feb. - BERNAMA
[Read More...]


0 Cermin Kereta Shamsubaharin Retak Di Tempat Letak Kereta SPRM



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SPRM jamin baiki cermin kereta bekas perunding NFCorp

PUTRAJAYA -- Cermin belakang di bahagian tempat duduk penumpang sebuah kereta milik bekas juruperunding National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Shamsubahrin Ismail yang diparkir di pekarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, ditemui retak.

Shamsubahrin yang dipanggil sebagai saksi ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan terkejut apabila dimaklumkan pemandunya bahawa satu daripada tiga kenderaan iatu Mitsubishi ASX miliknya yang disita SPRM, ketika ditahan pada bulan Disember lalu, telah retak.

Dua lagi kereta iaitu Mitsubishi jenis Triton dan Grandis dalam keadaan baik. Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali memberi jaminan bahawa SPRM akan memperbaiki cermin kereta itu. Beliau berkata pihaknya menyedari kejadian itu lebih awal dan satu laporan polis dibuat pada 16 Jan di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya.

Katanya kereta yang disita itu diparkir di tempat letak kereta dan satu kerja memotong rumput yang dilakukan mungkin telah menyebabkan batu melantun ke cermin kereta menyebabkan cermin kereta retak.

"Tiada unsur khianat kerana pada tarikh itu memang ada pemotong rumput. Kita akan memperbaiki kereta itu kerana (kejadian berlaku) semasa dalam penyimpanan kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama
[Read More...]


0 Rogol: Perlu penyelesaian cara Islam



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Sebanyak 24,635 kes rogol direkodkan di seluruh negara bagi tahun 2003 hingga 2011.

Demikian dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara bertulis kepada soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria (gambar) di Dewan Rakyat.

Pada 2003, jenayah rogol mencatat 1,479 kes, 2004 (1,765), 2005 (1,931), 2006 (2,431), 2007 (2,098), 2008 (3,409), 2009 (3,626), 2010 (3,595) dan 2011 (3,301).

Mengulas statistik tersebut, Nasir berkata, melihat kepada jumlah kes yang semakin meningkat dari setahun ke setahun, ternyata umat Islam memerlukan undang-undang yang lebih berkesan bangi menanganinya.

Maka katanya, sangat wajar jika undang-undang syariah dilaksanakan kerana ianya bukan sahaja sekadar untuk menghukum dan mendenda penjenayah, tetapi untuk mendidik dan mencegah mereka dan masyarakat daripada melakukan jenayah.

"Tahun lalu saya ada mengemukakan soalan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman tentang memperkasakan undang-undang jenayah Islam apabila statistik jenayah pada 2008 adalah sebanyak 211 kes.

"Tapi beliau hanya menjawab kerajaan akan mengekalkan undang-undang yang sedia ada," katanya.

harakahdaily/-
[Read More...]


0 Gempar: Gadis diculik, kanak-kanak dibunuh



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak serta gadis Malaysia baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, kejadian culik dan bunuh Nurul Nadirah Abdullah baru-baru ini serta kes culik seorang gadis Malaysia berusia 14 tahun yang cuba dibawa lari ke Thailand untuk dijadikan pelacur sememangnya amat menggemparkan negara.

Katanya, kejadian yang menimpa gadis itu menunjukkan seriusnya isu jenayah culik di negara ini.

“Ia menimbulkan keresahan dan kebimbangan bahawa kadar keselamatan rakyat di negara ini berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, nyawa dan maruah anak-anak gadis malah sesiapa sahaja boleh melayang kerana adanya sindiket yang berleluasa.

Tambahnya, apa yang berlaku ke atas gadis tersebut menimbulkan suatu persepsi bahawa jenayah yang berlaku di negara ini hampir sama dengan jenayah di negara-negara yang mempunyai kumpulan ‘gangster’ dan mafia terbesar di dunia.

“Kumpulan mafia ini mampu membunuh sesiapa sahaja yang menggugat gerakan mereka termasuk melakukan aktiviti penculikan, pelacuran dan pembunuhan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya DPPM mempersoalkan mengapa kejadian itu boleh berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Apakah ini menunjukkan kegagalan penerapan nilai agama oleh kerajaan sehingga gagal mendidik generasi yang bertaqwa dan patuh kepada perintah agama?

“Mungkinkah juga ia berpunca dari lemahnya sistem keselamatan negara ini sehinggakan penjenayah dari negara asing dengan mudah meloloskan diri dan melakukan jenayah sepuas hati di negara ini serta mampu menyeludup keluar rakyat negara ini keluar negara tanpa dikesan?” soalnya.

Dengan kejadian itu, ujar beliau DPPM mendesak kerajaan agar mengetatkan kawalan di sempadan negara ini bagi mengelakkan rakyat asing masuk ke negara ini sewenang-wenangnya serta rakyat negara ini dibawa lari keluar negara.

Selain itu, ujarnya lagi kerajaan perlu mengkaji balik dasar mengambil warga asing sebagai pekerja di negara ini.

Menurutnya, dengan jumlah pekerja asing yang begini ramai di negara ini, tidak mustahil lebih banyak jenayah akan berlaku.

“Pekerja asing yang membanjiri negara juga berjaya menukar landskap sesebuah kawasan dan bandar di negara ini seolah-olah menjadi hak milik mereka sehingga menimbulkan ketakutan warga tempatan,” katanya.

Mereka juga, tambah beliau membawa masuk pengaruh budaya mereka sehingga merosakkan budaya masyarakat negara ini.

Oleh itu, kata Riduan DPPM menuntut agar kawalan keselamatan di dalam negara ini dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Pihak keselamatan perlu melakukan rondaan dan pemantauan yang kerap serta menambah bilangan pasukan keselamatan di merata tempat dalam negara ini bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat di negara ini berharap tidak ada lagi kes penculikan kanak-kanak dan gadis tempatan untuk dijadikan mangsa sindiket pelacuran negara lain.

harakahdaily/-
[Read More...]


0 Kerajaan ditipu, diperbodoh AirAsia - MP BN



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ditipu, diperbodoh dan dipermainkan dalam penggabungan MAS-AirAsia.

"Rupa-rupanya kolaborasi ini telah dimanipulasikan oleh AirAsia itu sendiri," dakwa beliau dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menuduh AirAsia memanipulasi penggabungan itu apabila melantik salah seorang pengasas bersama serta ahli lembaga pengarah penerbangan harga rendah itu, Conor McCarthy, sebagai pengarah urusan MAS selepas berlakunya penggabungan itu.

Bung Moktar juga menuduh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar sebagai "master mind".

"Ini bermakna kerajaan telah ditipu oleh AirAsia - diperbodohkan, dipermainkan melalui Khazanah.

"Oleh sebab itu saya minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat Ahli Lembaga Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar ini – dia master mind! Dia yang merugikan duit kerajaan, duit rakyat. Kenapa tidak disiasat?" dakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Selain Azman, Bung Moktar juga menuntut supaya disiasat Pengarah Komersil Interim MAS, Shane Nolan; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MAS, Rozman Omar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kejuruteraan Aerospace MAS, Azhari Mohd Dahlan dan Ketua Komunikasi Strategik MAS, Nor Zalida Ahmad.

Rozman, Azhari dan Nor Zalida kesemuanya dari AirAsia. Nor Zalida pernah dilaporkan sebagai anak saudara kepada Timbalan CEO AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Sama seperti McCarthy, Nolan adalah dari PlaneConsult, iaitu konsultan AirAsia.

Bung Moktar juga mendakwa, MAS mengalami kerugian sebesar RM2 bilion berikutan penggabungan dengan AirAsia itu.

"Saya cukup sedih bagaimana kolaborasi ini apabila MAS rugi dekat RM2 bilion tetapi AirAsia pula untung RM500 juta!" dakwa beliau.

Beliau meminta penggabungan itu dibatalkan serta-merta.

"Saya mahu mintalah kerajaan agar batalkan kolaborasi ini dengan serta-merta sebab MAS menanggung banyak kerugian daripada kesilapan demi kesilapan dan kesilapan inilah yang akan memusnahkan harapan rakyat," katanya.

Beliau juga menuntut Azman diundurkan dari Khazanah.

"Dia yang menjadi dalang yang menghancurkan. Khazanah membuat investment di sana sini dan bukan semua investment menguntungkan, banyak yang rugi. Rugi kerajaan yang tanggung.

"Untung dia kaya raya. Dia dapat bonus. Gaji tidak tahu berapa puluh juta, berapa puluh ribu, elaun dan sebagainya," dakwa Bung Moktar.

Tidak diketahui adakah Azman membuat keputusan bersendirian tanpa restu dan persetujuan Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

harakahdaily/-
[Read More...]


0 15 maut dalam kemalangan kereta api dan van di Uttar Pradesh



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NEW DELHI - Lima belas orang maut manakala dua parah apabila sebuah kereta api merempuh sebuah van di lintasan landasan yang tidak berpengawal di Hathras, Uttar Pradesh, sebuah negeri di bahagian utara India.

Kemalangan pada pukul 7.29 pagi ini berhampiran stesen kereta api Madu itu membabitkan kereta api Mathura-Kasganj Express dan van yang membawa 17 penumpang.

Times of India memetik supritenden polis Chandra Prakash sebagai berkata, kesemua mangsa mati di tempat kejadian manakala dua yang cedera parah kini dirawat di sebuah hospital. - Bernama
[Read More...]


0 Kereta bertembung bas



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Puluhan penumpang sebuah bas henti-henti cemas apabila bas mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Mambau - Port Dickson, berdekatan Batu 5, di sini petang kelmarin.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Iswara maut itu di tempat kejadian, manakala dua penumpang bas cedera dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini sebagai pesakit luar.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dikatakan membawa 25 penumpang dalam perjalanan ke arah Seremban.

Ketika tiba di lokasi kejadian, Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas dan bertembung dengan bas berkenaan.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan, P.Teyaho, 45, dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya di Bandar Springhill, Port Dickson.

“Sejurus tiba di sebuah selekoh, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum berpusing. Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit selama hampir 30 minit di dalam kereta, bagaimanapun disahkan mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mayat Teyaho dibawa ke HTJ, di sini untuk bedah siasat.

Menurut jurucakap, bas terbabit terbabas ke bahu jalan sehingga mengakibatkan dua penumpang wanita berusia 20-an dan 50-an cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di HTJ.

“Pemandu bas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga terdekat mangsa, R Sharmini, 27, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kematian Teyaho.

“Saya sempat berjumpa dengan dia kira-kira 4.30 petang di Rahang. Waktu itu, saya tidak nampak perubahan pelik mengenai mangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Mayat HTJ, semalam.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

sinar harian/-
[Read More...]


0 Lelaki Bosnia ini sanggup berjalan kaki ke Mekkah untuk menunaikan Haji



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Demi memenuhi salah satu rukun Islam yang ke lima . Seorang lelaki Bosnia telah memulakan perjalanan untuk menunaikan haji dan mempersiapkan diri untuk menyeberang ribuan batu dengan berjalan kaki. Laporan daripada The Muslim Village portal pada Khamis Mac 15 yang lalu.

“Jujur saja sebelum saya memulakan perjalanan ini semua orang bimbang terhadap saya menanyakan bagaimana saya, sebagai seorang Muslim boleh memulakan perjalanan meskipun melalui negara-negara Kristian seperti Serbia dan Bulgaria” kata Senad Hadzic 47 tahun.

Bercita-cita untuk melakukan haji iaitu pada akhir Oktober nanti Hadzic akan berangkat untuk melakukan perjalanan panjangnya dari kampung halamannya di utara Bosnia pada Disember 2011.

Jaraknya kira-kira 3600 batu dari Bosnia ke Mekah dan ia akn menempuh di antara 12 hingga 20 batu setiap hari.

Dalam beg di belakangnya ia membawa mushaf Al-Qur’an dibungkus dalam plastik untuk melindunginya dari cuaca yang tak menentu.

Dia juga membawa peta dan bendera dari enam negara yang akan diseberanginya. Dia telah berjalan sejuah 600 batu setakat ini dan tentunya menghadapi bermacam-macam masalah.

Di Istanbul contohnya dia terkandas selama 20 hari dan berusaha untuk mendapatkan kebenaran untuk berjalan menyeberangi Jambatan Bosphorus yang menghubungkan Eropah ke Asia yang terbuka hanya untuk kenderaan.

Pada akhirnya berjaya ia memutuskan untuk meneruskan perjalanan menuju Makkah walaupun tanah Syria sedang bergolak.

“Saya akan memberitahu anda bahawa perjalanan ini telah mempunyai berjuta-juta masalah” kata Hadzic.

“Saya akan menjelaskannya kepada anda seperti ini: Insya Allah, saya akan masuk Asia hari ini, dan kemudian Syria. Dan saya tidak takut tank atau peluru, hanya Allah. Dan apabila saya boleh sampai ke Makkah dan saya akan berdoa untuk kita semua.”

Jutaan Muslim dari seluruh dunia berkumpul di Mekah setiap tahun untuk menunaikan haji, salah satu daripada lima rukun Islam. Setiap Muslim dewasa yang berbadan sihat dan yang secara kewangan mampu membayar perjalanan haji wajib melakukan tuntutan ini sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Setelah berjalan melalui pelbagai negara, Hadzic mendapat banyak pengalaman dan menerima banyak kebaikkan daripada banyak orang.

“Ada seorang tua bijaksana Turki muncul dan ketika ia tahu bahawa saya datang dari Bosnia ke Istanbul dengan berjalan kaki maka ingin memberika saya duit supaya saya naik di dalam pesawat dan terus ke Makkah untuk haji” kata Hadzic.

“Tapi saya saya menolaknya.” Musafir dengan bekalan duit yang sedikit, Hadzic mengatakan dia sangat menghargai pada kebaikan orang asing dalam perjalanan panjangnya.

“Di Serbia orang keluar di jalan dan memberi saya topi atau kaus kaki” kata Hadzic.

“Dalam satu cerita seorang profesor di Serbia mengundang saya untuk tinggal di rumahnya. Ini profesor Serbia yang beragama Kristian mengatakan kepada saya bahawa saya adalah muslim pertama yang melangkah di rumahnya dalam hidupnya. Ini adalah kehormatan besar bagi saya.”

Hadzic mengatakan ia harus melakukan perjalanan dengan berjalan kaki kerana Allah membantunya dalam mimpi melihat perjalanan ini sebagai manfaat untuk dirinya sendiri dan semua orang yang ditemuinya.

“Dengan Langkah ini saya membuktikan bahawa semua yang saya lakukan adalah kerana kasih saya kepada Allah” kata Hadzic.

“Demi apapun yang ada di dunia saya tidak akan menghentikan apa yang saya lakukan.” Meskipun belum setengan jalan namun banyak hal yang telah Hadzic pelajari.

“Pengalaman yang paling beharga yang saya dapat ialah, belajar erti ‘berterima kasih’ dan bersyukur dengan apa yang ada. Orang-orang miskin yang tinggal di luar bandar mencintai Allah dan menyokong saya dengan kemurahan hati” kata Hadzic.

Sumber
[Read More...]


0 2 jururawat didakwa bunuh 16 pesakit



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MONTEVIDEO - Dua jururawat lelaki telah didakwa oleh mahkamah di Uruguay, kelmarin atas kesalahan membunuh sekurang-kurangnya 16 pesakit di Pusat Penjagaan Rapi Neurologi dan di sebuah hospital awam sepanjang 20 tahun mereka bertugas.

Tertuduh yang berumur 39 dan 46 tahun itu mengaku melakukan pembunuhan tersebut dan teman wanita salah seorang daripada mereka turut didakwa bersubahat.

Peguam bela kedua-dua tertuduh mendakwa tindakan anak guamnya itu dianggap sebagai pembunuhan belas kasihan terhadap pesakit yang dipercayai tiada harapan lagi untuk hidup.

sinar harian/-
[Read More...]


0 Kadir Sheikh Fadzir Umum Keluar Umno



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.

"Saya baru saja menghantar surat kepada Setiausaha Agung Umno, peletakan jawatan selaku ahli Umno akan berkuat kuasa hari ini (Isnin)," kata Abdul Kadir dalam satu kenyataan.

Beliau turut memberitahu telah meletak jawatan selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu pada minggu lalu.

Kadir,73, menjadi ahli Umno sejak tahun 1956.

Beliau juga pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia selama 10 tahun dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno selama 24 tahun.

Jawatan-jawatan lain beliau dalam politik termasuklah ketua Pemuda Umno Negeri Kedah, setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri penuh.

Antara lain beliau pernah menjadi menteri penerangan dan menteri pelancongan Malaysia.

Buat masa ini beliau adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang diterajui oleh veteran-veteran politik termasuklah Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ong Tee Kiat, bekas presiden MCA.

Sejak akhir-akhir ini, Kadir sering kali mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai mengkritik Umno, termasuk mendakwa BN dan Umno membeli undi dan mengamalkan budaya politik wang.

Ekoran kenyataannya itu, pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta beliau meninggalkan parti jika tidak berpuas hati.

mStar/-
[Read More...]


0 Orkestra buat persembahan unik



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SYDNEY - Sekumpulan anggota Orkestra Simfoni Sydney mengadakan konsert eksklusif sempena ulang tahun ke-80 pembinaan Jambatan Pelabuhan Sydney di sini semalam.

Digelar 'penyangkut baju' dalam kalangan penduduk tempatan, jambatan itu yang menghubungkan bahagian selatan dan utara Pelabuhan Sydney dibuka secara rasmi kepada lalu lintas pada 19 Mac 1932.

Projek membina struktur sepanjang 1,149 meter (m) itu mengambil masa lapan tahun dan turut meragut nyawa 16 pekerja.

Bagi meraikan ulang tahun ke-80 jambatan tersebut, 11 anggota orkestra itu yang turut memasuki usia 80 tahun pada tahun ini membuat persembahan di atas sebuah palang jambatan setinggi 134m itu.

"Mereka menyampaikan dua buah lagu termasuk lagu tema filem Chariots of Fire," kata seorang jurucakap orkestra berkenaan.

Menurut pihak penganjur, kumpulan penonton itu terdiri daripada tujuh 'wira jambatan' yang mempunyai hubungan istimewa dengan struktur tersebut.

Sebahagian mereka terdiri daripada keturunan jurutera jambatan tersebut, J.J.C Bradfield, anak saudara seorang lelaki yang memasang paku rivet pertama pada jambatan tersebut dan seorang wanita, Joan McDonald.

McDonald memiliki sijil kelahiran yang menyatakan dia dilahirkan di dalam sebuah ambulans di jambatan berkenaan.

Struktur berkenaan merupakan antara mercu tanda yang paling kerap diabadikan dalam gambar di bandar raya ini.

- AFP
[Read More...]


0 Bom era Perang Dunia Kedua ditemui



27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MARSEILLE - Kira-kira 1,000 penduduk di sekitar pelabuhan di Marseille, kelmarin diarah berpindah sementara berikutan penemuan secara tidak sengaja bom Perang Dunia Kedua seberat 907 kilogram (kg) pada minggu lalu.

Ia telah dibawa ke pangkalan tentera berhampiran untuk dimusnahkan.

Kerajaan tempatan melaporkan sistem pencucuh bom itu tidak lagi berfungsi tetapi bahan letupan seberat 650 kg yang terdapat di dalamnya didakwa amat berbahaya.

sinar harian/-
[Read More...]