05 September 2009

Seorang lagi korban H1N1, total 73

Seorang wanita dari Betong, Sarawak mati akibat jangkitan Influenza A (H1N1) menjadikan jumlah korbannya meningkat kepada 73 orang.

Wanita berkenaan yang berusia 25 tahun, meninggal dunia pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican berkata wanita tersebut dimasukkan ke Hospital Betong pada 30 Ogos 2009 kerana demam, batuk dan sakit tekak selama lima hari.

Wanita itu mendapatkan tiga kali rawatan pesakit luar di hospital yang sama bagi simptom yang sama sebelumnya.

Pada 31 Ogos lalu, wanita itu dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan rawatan antiviral dimulakan. Bagaimanapun, dia meninggal dunia Selasa lalu kerana radang paru-paru yang serius dengan jangkitan H1N1, yang disahkan melalui ujian makmal hari ini.

Manakala 266 lagi kes penyakit seakan influenza A (ILI) sedang dirawat, termasuk 41 orang ditempat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Manakala manakala 293 kes lagi telah dibenarkan pulang.

Seramai 1,211 pesakit ILI masih dirawat di 110 hospital, termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 230 pesakit (18.9%) yang telah disahkan positif H1N1.

Daripada 230 kes yang disahkan H1N1, 41 kes berada di ICU di mana lima kes merupakan kemasukan baru, manakala tiga lagi kes telah keluar dari ICU.

Daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, 31 (75.6%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (7), obesiti (10), kanak-kanak/bayi (8), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (1) dan asma (3).

Ismail berkata, kementerian mendapati ramai mereka yang mempunyai simptom seperti demam, batuk dan sakit tekak, masih berkunjung ke tempat-tempat yang terdapat ramai orang - sama ada untuk membeli belah, hiburan dan keramaian.

“Mereka ini sepatutnya berehat di rumah dan sekiranya terpaksa juga keluar, hendaklah memakai topeng muka bagi mencegah penularan jangkitan virus influenza ini.

“Kementerian Kesihatan juga mendapati masih ramai lagi orang awam yang tidak faham cara virus ini merebak. Virus influenza A(H1N1) merebak atau berjangkit daripada manusia kepada manusia melalui titisan cecair (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin).

“Sekiranya kita memahami cara virus ini merebak, maka lebih mudah untuk kita mengambil langkah-langkah pencegahan. Justeru, apabila kita mengetahui seseorang individu itu mengalami simptom influenza-like illness ILI, perlulah kita menjauhinya untuk mengelak dari mendapat jangkitan,” katanya.

Manakala individu yang mempunyai simptom, katanya, juga mesti mengamalkan menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya satu meter dengan individu lain apabila berurusan dengan orang lain. Ini termasuklah mereka yang menjalani pengasingan di rumah.

MalaysiaKini/-

Tiada ulasan: