19 Ogos 2010

Projek perindustrian di S'gor tertinggi di M'sia

8 Ramadhan 1431 H

Selangor mencatatkan pelaburan perindustrian dan jumlah projek perindustrian yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pelaburan yang diperolehi dalam tempoh tersebut membabitkan 120 projek, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok.

Katanya, ia berdasarkan statistik terkini Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Statistik MIDA tersebut, katanya, menunjukkan Selangor telah mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM2.47 bilion bagi tempoh tersebut -jumlah projek perindustrian yang tertinggi.

Sebanyak 120 projek telah diluluskan di Selangor dan angka tersebut merupakan 36 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

Di belakang Selangor ialah Johor dengan 65 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 44 projek, kata Teresa dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada 120 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 68 adalah projek baru manakala baki 52 merupakan projek yang diperkembangkan.

Di samping itu, Selangor juga telah mencatatkan jumlah peluang pekerjaan yang tertinggi dengan 7,602 pekerjaan.

Menurut Teresa, RM942 juta atau 38 peratus daripada pelaburan di Selangor adalah terdiri daripada pelaburan asing.Manakala RM 1.52 bilion atau 62 peratus adalah pelaburan tempatan.

"Ini menunjukkan pelaburan tempatan amatlah penting bagi kerajaan negeri Selangor. Pelabur tempatan masih kekal melabur di Selangor di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat," tambahnya.

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun membuat pelaburan tertinggi sebanyak RM366 juta, diikuti Singapura (RM 121 juta) dan Jerman (RM116 juta).

"Bilangan projek perindustrian yang tinggi di Selangor itu menunjukkan ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur asing dan tempatan," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: