04 Jun 2012

Noor Hasafadila rayu bapa pulang jadi wali

14 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang pembantu jurujual yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 28 Jun ini merayu supaya bapa kandungnya, Abdul Hamid Che Ani segera pulang untuk menjadi wali.

Noor Hasafadila, 17, berkata, bapanya yang bekerja di ladang kelapa sawit berpisah dengan ibunya, Norma Hassan ketika dia berusia lima tahun.

Menurutnya, setelah ibu bapanya berpisah, dia masih tinggal bersama bapanya di Sungai Karangan, Kulim sehingga berusia lapan tahun dan kemudian tinggal bersama ibunya.

“Sewaktu kami berpisah, saya masih kecil, jadi banyak perkara yang saya tidak ingat termasuk paras rupa bapa.

“Usaha mencari bapa sudah dilakukan namun gagal ditemui walaupun kami mencari di tempat tinggalnya sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Hasafadila berkata, pencarian­ bapanya lebih sukar, kerana dia tidak mengenali dan tidak mempunyai nombor telefon rakan bapanya untuk dihubungi bagi membantu mencari Abdul Hamid.

Katanya, selain mencari di rumah lama, dia turut cuba mengesan Abdul Hamid menerusi maklumat yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Berdasarkan maklumat di JPN, bapa saya masih menggunakan alamat yang sama seperti di dalam surat beranak saya iaitu di Kampung Sena, Tok Paduka, Perlis.

“Pada surat beranak saya, nombor kad pengenalan yang digunakan bapa saya adalah nombor kad pengenalan lama iaitu A1649646,” katanya.

Noor Hasafadila yang bertunang dengan Mohd Sofi Md Zain berkata, selain mencari bapanya untuk dijadikan wali, dia juga merindui kasih sayang Abdul Hamid.

Dia berharap jika ada yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Abd Hamid supaya menghubunginya di talian 0175181834.

Sinar Harian

Tiada ulasan: