23 Mac 2008

‘‘Tak bagus boleh tukar”

MUKADIMAH
PILIHAN Raya Umum Ke-12 ternyata memberi kejutan. Barisan Nasional (BN) bukan sahaja gagal menawan semula Kelantan tetapi tewas di negeri-negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Bagi sesetengah orang termasuk pemerhati politik, ia bagaikan ‘mimpi’.
Begitu juga bagi Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Abdul Razak yang tidak menjangka kemenangan besar parti berkenaan seterusnya berjaya membentuk kerajaan negeri. Bagaimanapun, dalam tidak menjangka itu, menurut Azizan, Pas sebenarnya telah bersedia untuk memerintah. Selepas menanti begitu lama, akhirnya impian menawan Kedah menjadi kenyataan.

Segala-galanya atas pilihan rakyat yang memberi peluang kepada Pas dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagi Azizan, yang lebih mesra dipanggil ustaz, rakyat berhak menentukan kerajaan yang dipilih. Jadi, sepanjang pemerintahan kerajaan Pas di Kedah, rakyat akan menilai dari segenap aspek berhubung kerajaan baru mereka.

Sehubungan itu, Azizan akur bahawa rakyat akan menjadi penentu kejayaan hari ini dan esok (Pilihan Raya Umum Ke-13). Jika rakyat tidak puas hati, mereka boleh menukar kerajaan lain. Itulah kuasa rakyat dan Azizan mengakui tentang peranan besar masyarakat di Kedah.

Wartawan Mingguan Malaysia, Zainu‘l Azhar Ash‘ari dan Shariza Abdullah serta jurugambar ISMAIL KAMADIN sempat meluangkan masa menyelami hati dan perasaan Azizan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di pejabat beliau di Wisma Darul Aman baru-baru ini. Berikut ialah wawancara dengan beliau:

MINGGUAN: Tahniah kerana dilantik sebagai Menteri Besar Kedah. Tanggungjawab ustaz sekarang adalah lebih besar. Jika sebelum ini menjaga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, tetapi kini menjaga seluruh rakyat negeri Kedah. Bagaimana ustaz melihat tanggungjawab yang bertambah ini?

AZIZAN: Alhamdulillah, terima kasih. Sebenarnya saya bukan hanya menjaga Sungai Limau. Sebagai Pesuruhjaya Pas negeri, saya menjaga Kedah sejak enam tahun lalu. Sebelum itu sebagai Setiausaha Pas Kedah sejak 1995. Sebagai wakil rakyat, saya mewakili DUN Sungai Limau sejak 1995 sehingga sekarang. Maknanya kira-kira 13 tahun. Sekarang ini, peranan lebih besar bukan sekadar menjaga politik negeri tetapi juga sebagai ketua kerajaan. Saya juga biasa dengan pentadbiran dan pada peringkat awal penubuhan kerajaan ini banyak tugas baru perlu dilakukan.

Kini ustaz memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat, Pesuruhjaya Pas dan Menteri Besar. Bagaimana membahagikan masa dengan tugas-tugas ini.
AZIZAN: Dengan izin Allah s.w.t. saya berjaya mengagihkan bahagian itu. Pada sebelah siang, saya berada di Pejabat Menteri Besar dan saya akan berpolitik pada sebelah malam. Pembantu-pembantu saya menjaga kawasan di peringkat negeri, mereka akan menolong menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Saya juga tidak ada masalah kerana duduk dalam kawasan, berdekatan pula dengan pejabat negeri. Jadi apabila saya balik dari pejabat negeri saya singgah di kawasan, rakyat boleh tengok saya setiap hari

Bagaimana dengan urusan mentadbir Kedah selepas dua minggu menjadi Menteri Besar?
AZIZAN: Tidak ada masalah, saya mula bertugas pada hari kedua (selepas dilantik). Saya dah mempengerusikan mesyuarat Exco, menghadiri majlis-majlis dan memanggil pengarah-pengarah. Ia berjalan seperti biasa dari pagi sampai ke petang.

Difahamkan pada mulanya ustaz menolak jawatan ini?
AZIZAN: Saya bukan macam orang lain, nak berebut. (Saya fikirkan) kalau ada orang lain lebih layak, bagi kepada orang lain. Cumanya saya Pesuruhjaya Pas negeri dan tua sikit, maka saya dipilih menjadi Menteri Besar. Tetapi kalau saya tak mampu, tukarlah orang lain. Alhamdulillah sehingga kini sokongan orang-orang lain adalah baik.

Ada pihak yang beranggapan Pas Kedah masih belum bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negeri ini. Mungkin Pas Kedah sendiri tidak menjangkakan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
AZIZAN: Semua tak jangka, kita tak jangka, UMNO pun tak jangka. Kita tidak jangka menang, UMNO tak jangka dia kalah. Tetapi kita bersedia untuk memerintah. Kalau kita tak bersedia, bagaimana kita nak buat manifesto?

Ada pemerhati mengatakan sebagai sebuah kerajaan baru, ada campur tangan dari luar, mungkin dari kepimpinan Pas pusat sendiri?
AZIZAN: Kita terima pandangan semua. Sudah tentu kita sebahagian daripada Pas pusat. Kita bukan satu negeri yang berasingan daripada Pas. Saya dilantik sebagai Menteri Besar pun adalah dengan restu Pas pusat. Kita akan menerima segala arahan yang diberi oleh Pas pusat dan melaksanakannya dengan mengambil kira keupayaan dan suasana tempat kita. Suasana setiap tempat adalah berbeza. Negeri Terengganu berbeza, Kelantan berbeza dan Kedah berbeza. Suasana tempat diambil kira tetapi kita masih ikut arahan yang diberi oleh Pas pusat.

Sejauh mana ustaz melihat barisan Exco yang dilantik dapat menunaikan amanah mentadbir negeri?
AZIZAN: Saya melantik Exco berdasarkan keupayaan dan pengalaman yang ada pada mereka. Maknanya orang yang berkelayakkanlah. Contohnya orang tu pernah jadi jurutera, saya bagi (portfolio) Jabatan Kerja Raya; orang yang jadi doktor saya bagi kesihatan dan orang jadi peguam saya bagi dia kerajaan tempatan. Saya mengambil sedikit sebanyak semua itu. Buat masa sehari dua ini, kita tak boleh nak menilai kerana masih terlalu awal. Tetapi selepas dua atau tiga bulan kita tengoklah. Dengan kerjasama semua pihak insya-Allah kita boleh menjalankan tugas dengan baik. Yang penting sekarang kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pegawai Tadbir Negeri (KCS).

Apakah dasar pentadbiran yang akan dilaksanakan oleh kepimpinan kerajaan baru Kedah?
AZIZAN: Ke arah untuk mewujudkan Kedah sejahtera seperti manifesto kita. Masalah kerajaan negeri ni dua sahaja. Satu rasuah dan kedua perbelanjaan tidak berhemah. Kita akan buat perbelanjaan berhemah, rasuah sifar dan adil untuk semua. Kita juga akan memastikan pentadbiran yang cekap dan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.

Sesetengah masyarakat akar umbi Kedah menyatakan bahawa mereka akan melihat keupayaan kerajaan Pas. Jika tidak berpuas hati mereka akan ‘kalih’ (tukar) tetapi pada masa sama kalau benar-benar bagus, kata mereka kenapa nak tukar? Apa komen ustaz?
AZIZAN: Kedua-dua bagus. Nak tukar bagus, nak kekal bagus. Itu hak rakyat. Tetapi semua ini kena sabar. Lima puluh tahun boleh sabar dengan UMNO, kenapa tak boleh dengan Pas? Kalau kita bagus kenapa nak tukar? Kalau tak bagus kenapa nak kekal dia, bagilah kepada orang yang bagus. Itu bukan isu.

Apakah akan jadi macam Kelantan, rakyat berikan sokongan kepada kerajaan kerana menyifatkannya mentadbir dengan bagus?
AZIZAN: Kalau bagus tukar buat apa. Kalau tak bagus, tukarlah. Saya pun tukar kalau tak bagus. Kereta tak bagus pun kita tukar. (ketawa)

Sebelum ini kerajaan BN banyak merencana program pembangunan. Adakah ia akan diteruskan?
AZIZAN: Kita akan teruskan tetapi akan kaji beberapa projek.
Selepas Pas mengambil alih, apakah yang ustaz nampak mengenai potensi-potensi di Kedah?
AZIZAN: Kita tengok pelaburan datang balik. Apa pun (mengenai potensi) saya kena duduk dulu bincang dengan Exco dan peringkat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Manifesto Pas Kedah menggariskan 15 perkara pokok. Bagaimana Pas Kedah akan melaksanakan kesemua janji yang terkandung dalam manifesto tersebut.
AZIZAN: Kita kena study apa yang kita kena buat dahulu, satu-satu. Kita kena study apa yang kita nak buat dalam 100 hari ini. Dulu kita buat apa pun ketika tidak duduk dalam kerajaan tetapi sekarang kita dalam kerajaan, jadi kita tau apa boleh dan apa yang tak boleh.

Berapa lama tempoh yang diperlukan untuk melaksanakan semua ini?
AZIZAN: Sepanjang kita memerintahlah, ada yang awal ada yang akhir.

Pelantikan secara automatik Menteri Besar. Umpamanya menjadi presiden persatuan bola sepak negeri secara automatik. Adakah ustaz akan ikut?
AZIZAN: Tugas itu undang-undang kata begitu. Saya akan tanggung. Tetapi saya tidak akan buat keputusan melainkan saya bincang dulu dengan pegawai-pegawai atau penasihat. Kemudian saya buat keputusan.

Pesanan ustaz untuk rakyat Kedah.
AZIZAN: Saya minta supaya mereka sabar dulu. Mari sama-sama kita bina negeri Kedah, negeri kita. Apa-apa yang berlaku disebabkan perbezaan politik dah berlalu selepas pilihan raya, minta polisi Kerajaan Pusat pun diteruskan kerana kita buat sesuatu pun bukan di luar perlembagaan. Alhamdulillah setakat ini saya puas hati, istana juga merestui, keselamatan pun baik, yang menang (pilihan raya) pun tak melompat sangat, yang kalah pun tenang balik. Alhamdulillah semua bagus.
dipetik dari : Mingguan Malaysia.

2 ulasan:

Unknown berkata...

1 kepada kepimpinan terbaru...ayuh..

sebuah anjakan paradigma diperlukan.

petikan daripada utusan malaysia.
Sukan, politik tidak boleh dipisahkan

Oleh HAMDAN AHMAD

SEJAK merdeka bahkan sebelum merdeka, aktiviti bersukan telah pun sebati dengan masyarakat kita. Kini sukan terus-menerus digemari oleh rakyat yang melihat dengan bersukan itu dapat menyihatkan badan dan menjadi sebagai salah satu bentuk rekreasi dan aktiviti riadah. Kerajaan sentiasa mengambil berat akan sukan dalam kehidupan masyarakat sehingga hari ini. Ia dilihat sebagai satu mekanisme untuk menyepadukan rakyat di negara ini. Hakikat ini perlu diterima oleh semua orang tanpa mengira kaum.

Perkembangan terbaru senario politik negara dengan pembentukan dan pertukaran pucuk pimpinan kerajaan di beberapa buah negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengundang sedikit kesugaran di kalangan rakyat, peminat sukan dan para pentadbir sukan negara.

Dikhuatiri, dengan pertukaran pucuk pimpinan ia sedikit sebanyak boleh membantutkan perjalanan sukan di peringkat negeri dan negara. Sudah tentu pemimpin sukan daripada kerajaan baru mempunyai cara ia tersendiri dalam mengendalikan aktiviti dan program sukan dan kemungkinan ia akan mengambil sedikit masa membuat penyesuaian dalam hal-hal pengurusan.

Mewujudkan

Sebagai orang ‘baru’ dalam mengendalikan program sukan, individu-individu berkenaan perlu bekerja lebih keras lagi, misalnya dalam mewujudkan jaringan dengan pihak-pihak yang dapat membantu mengembangkan sukan negara.

Bagaimana baru sekalipun, sukan tidak harus dipolitikkan kerana yang rugi nanti ialah para atlet dan rakyat jelata. Janganlah diperjudikan sukan kerana politik sempit sesetengah pihak. Semua pihak perlu melihat secara positif dan harus bekerjasama demi kepentingan sukan dan kemakmuran negara.

Kita akan terus melihat dan menilai perkembangan sukan selepas ini. Ia tidak harus berada di takuk lama dan perlu ditingkatkan demi keperluan semasa dan untuk jangka panjang. Pemimpin baru sukan harus diberi masa dan ruang bagi membuktikan akan kebolehannya dalam mentadbir sukan negeri dan negara.

Dasar atau polisi yang kukuh yang sedia ada mungkin tidak perlu diubah. Apa yang perlu berubah mungkin dari segi penambahbaikan cara pelaksanaannya.

Yang penting ialah dari segi impak program sukan itu sendiri kepada pelanggannya yang terdiri daripada atlet dan rakyat jelata. Oleh itu, jangan sekali-kali hendaknya memperjudikan sukan atas dasar politik sempit. Sukan perlu diperkembangkan dan ditingkatkan statusnya hingga ke satu tahap yang boleh kita semua banggakan.

Maka, sukan dan politik tidak harus dipisahkan atau dikurangkan penekanannya kerana kepentingannya kepada masyarakat telah lama terbukti membawa kebaikan.

kesimpulan -dari-tentangprodankontra@gmail.com -

ayuh menteri basar jadikan bola sepak malaysia lebih matang–samapaikan kepada pemimin barisan rakyat

daripada rakyat kepada rakyat…

tumpukna karier politik anda untuk rakyat,,,biarklan
profesional sukan yang mentadbir sukan bola sepak negara,,,

ayuh… pemimpin maju,rakyat maju..malaysia maju…

Selongsong berkata...

Tengah tunggu wawancara dengan Menteri Besar Perak pulak!

Lepas tu, tunggu gak wawancara dengan ADUN Titi Serong!

Harap-harap DUN Titi Serong tidak masuk dalam negeri Kedah bila pensempadanan semula dibuat tak lama lagi. kekekekeh. Sekadar bergurau ringan-ringan. Maklumlah Titi Serong ni tak jauh dari Kedah. Sebelah je... Kalau tidak...?!

selongsong.pencucuh