07 Oktober 2008

Hidung Pesek, Mata Sepet dan Jambang Tebal

Oleh : Ust. Zolkharnain Abidin

Semasa saya menulis mengenai ‘Menanti Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS’, otak saya mengembara ke seluruh Malaysia mencari-cari pemimpin PAS di berbagai peringkat dari kalangan orang Cina atau India. Saya hanya terbayangkan Dato’ Anuar Tan sahaja. Saya memasukkan namanya dalam tulisan tersebut. Apabila tulisan di dalam blog saya dipindahkan oleh pemudabesut ke laman Tranungkite, beliau memasukkan nama Drs Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong Perak. Terimakasih kepada pemudabesut.

Drs Khalil Idham Lim yang saya panggil Ust Khalil bukan asing bagi saya. Kami bersahabat baik. Dia acap kali belanja saya makan malam kerana setiap bulan saya menyampaikan kuliah di markas Titi Serong, markas DUN beliau. Tetapi macam mana saya boleh tidak terlintas namanya. Nombor handphonenya pun ada dalam simpanan saya. Dia juga hantar SMS jemput saya ke rumah terbukanya pada 5 Syawal. Maaf ust, saya tak dapat bersama kerana banyak komitmen lain.

Di negeri saya ada seorang lagi aktivis pemuda negeri, juga seorang Cina, Sdr Adam Tan. Dia juga aktif bersama saya dalam Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Perlis. Dia dan saya bersama Sdr Zulmi Sabri, Pengerusi YAM Perlis telah bertemu dan menyumbang bantuan hariraya kepada anak-anak yatim pada Ramadhan yang lalu.

Saya fikir, kita perlu ada direktori sahabat kita yang bukan berbangsa Melayu yang menjadi pimpinan atau aktivis PAS di semua peringkat. Dulu kita ada Sdr Kamal Koh, Aan Wan Seng dan … Namun kini mereka seperti mendiamkan diri, low profile. Saya tidak pasti mengapa. Saya yakin mereka tetap committed dengan PAS. Mungkin keperluan kehidupan, perniagaan, situasi keluarga atau apa sahaja membuatkan mereka senyap dan seolah-olah ‘menjauhkan diri daripada PAS’.

Peranan mereka besar di dalam PAS. Kalau tak salah ingatan saya, CCC dulunya digerakkan oleh mereka. Kemampuan mereka berbahasa ibunda, kefahaman mereka tentang budaya etnik mereka, lingkungan hubungan mereka yang luas dengan keluarga dan rakan sebangsa bahkan hubungan antara bangsa mereka melalui perniagaan, persahabatan, pelbagai badan dan gerakan massa adalah aset berharga buat kita.

Mereka perlu diketengahkan dan diberi tempat wajar di dalam PAS. Jangan tunggu mereka datang. Mereka perlu dipanggil. Ramai di kalangan mereka yang terpelajar, lepasan Universiti Islam Madinah, lepasan al-Azhar dan sebahagian besar adalah profesional. Bukan sahaja daripada kalangan Cina tetapi juga India. Mereka adalah ahli PAS, bukan anggota Kelab Penyokong PAS. Justeru mereka layak memilih dan dipilih. Mereka layak ditonjolkan sebagai pimpinan kanan jamaah.

Saya tidak kenal pimpinan parti atau aktivis parti dari kalangan kaum India. Saya yakin ada. Mereka juga wajar diketengahkan.

Saya cuba gambarkan betapa indahnya, ketika muktamar, mereka yang memenuhi kerusi pimpinan PAS Pusat, pemuda, muslimat dan ulama di atas pentas diwarnai oleh mereka yang berkulit sawo matang, putih kuning dan hitam manis. Atau, berhidung pesek, bermata sepet dan berjambang tebal. Meriahnya waktu rehat muktamar dengan pelbagai bahasa komunikasi apabila sesama etnik ini bertemu. Gerai-gerai makanan juga pelbagai, asam pedas, yong tau fu, gulai mamak, atau apa sahaja, berbagai juadah yang mewakili pelbagai etnik di dalam PAS. Mereka datang dengan pakaian tradisi masing-masing. Baju Melayu, Baju Kurung, Cheung Sam, Kurta… atau apa-apalah. Saya tak tahu nama pakaian tradisi kaum Cina dan India. Huh, cukup indah.

Tetapi, bila agakanya semua itu menjadi nyata. Jangan seperti menunggu gagak berbulu putih atau kucing bertanduk sudah.

Kita tunggu dan lihat.

1 ulasan:

Azman berkata...

Memang patut patut golongan dari bukan melayu dari PAS ke hadapan. Tangapan seolah-olah Islam itu milik Melayu patut diketepikan. Saya selalu mengambil contoh YB ( seorang Cina) yang mempunyai masa depan yang cerah untuk memegang tampuk negara satu hari nanti , InsyaAllah.