05 April 2009

Exco Kudeta Buat Laporan Polis Terhadap V.Sivakumar

IPOH - Satu laporan polis dibuat terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hari ini kerana didakwa mengemukakan afidavit palsu semasa perbicaraan saman pemula Menteri Besar kudeta, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan enam exco kudeta nya untuk membatalkan keputusan penggantungan mereka menghadiri sidang DUN. Laporan dibuat oleh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Hamidah Osman (foto) di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini jam 7 malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri merupakan seorang daripada enam Exco Barisan Nasional (BN) kudeta yang digantung oleh Sivakumar daripada menghadiri sidang DUN selama 12 bulan. Katanya laporan dibuat kerana Sivakumar dikatakan telah mengemukakan afidavit palsu semasa perbicaraan dalam kamar di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Mac lalu.

"Saya dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Menteri Besar dan enam Exco BN bahawa Sivakumar telah mengemukakan afidavit palsu semasa perbicaraan kes itu diadakan dalam kamar hakim pada 30 Mac lalu," katanya kepada pemberita di sini. "Dalam afidavitnya, beliau mengatakan bahawa keputusan menggantung Menteri Besar kudeta dan enam Exco BN kudeta daripada menghadiri sidang dewan adalah keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, afidavit dikemukakan oleh Sivakumar ini adalah bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini yang mengatakan keputusan menggantung Menteri Besar kudeta dan enam Exco kudeta BN dibuat oleh beliau sendiri selaku Speaker DUN. Malah, kata Hamidah, perkara itu turut dinyatakan dalam surat yang dihantar oleh Sivakumar kepada mereka semasa memaklumkan mengenai penggantungan itu.

[Nampaknya BN Perak masih terus mencari isu untuk menghalang V.Sivakumar. Sememangnya kes penggantungan MB dan Exco BN itu sudah diketahui umum sebelum ini yang ia dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang dipengerusikan sendiri oleh V. Sivakumar. Seantero dunia sudah diwar-warkan perkara itu, mengapa Hamidah beriya-iya benar mahu mempertikaikannya dan mengatakan Sivakumar membuat afidavit palsu di mahkamah. Soalnya sekarang, apakah pihak polis juga akan sepantas kilat berlari untuk menyiasat dakwaan tersebut bila ia dilaporkan oleh pemimpin UMNO dan BN. Tetapi mereka menyepi dan menikus jika laporan polis dibuat oleh pembangkang. Makanya Najib perlu membersihkan imej polis agar kelihatan adil dan saksama hendaknya nanti]. Pahangdaily.

1 ulasan:

MOGUNDAHALI berkata...

salam

Pakatan rakyat perlu lebih bijaksana lagi untuk menegakkan demokrasi.