30 Julai 2009

Saman Kerajaan Negeri

IPOH – Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Perak memfailkan saman terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, SPA Perak, Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Malaysia berikutan penamatan khidmat enam ahlinya baru-baru ini.

Seorang ahlinya, R Manickam, 68, berkata, surat penamatan khidmat diterimanya pada awal Julai lalu dengan ditandatangani oleh kakitangan bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Asri Saad bagi pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Manickam turut menyuarakan rasa terkilan berikutan kesalahan yang terkandung dalam surat berkenaan berhubung tempoh perkhidmatannya dengan pihak SPA.

“Saya telah menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung deklarasi pada surat berkenaan yang mengatakan tempoh perkhidmatannya adalah hanya selama enam bulan dan bukannya tiga tahun seperti yang terkandung pada surat pelantikan saya.

“Sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang reaksi daripada pihak berkenaan dan bercadang untuk mengutus surat sekali lagi berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Ipoh semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga, Alam Sekitar dan Sumber Manusia, A Sivanesan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar serta bekas ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Perak yang juga bekas Ahli Parlimen Kampar, Ngoi Thiam Woh.

Sementara itu, Sivanesan turut meluahkan kekesalannya terhadap perkara berkenaan dan berharap agar ianya dapat diselesaikan segera.

Beliau yang juga ADUN Sungkai berkata, pihak yang berkenaan juga perlu meneliti semula surat pelantikan serta surat penamatan perkhidmatan tersebut yang ternyata mengelirukan.

“Saya tidak pasti sama ada perkara ini disengajakan atau tidak, tetapi ianya perlu ditangani segera,” katanya.

SinarHarian/-

1 ulasan:

Unknown berkata...

Kalau lagu ni, memang ketua pentabdir di Perak iaitu SS adalah pegawai PTD yang bodoh.