04 Ogos 2009

Jangan mudah minta cerai

Oleh : mohd naim mohd zain

SOALAN:

Saya berkahwin pada tahun 2006 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun. Saya bercerai pada April 2009. Untuk pengetahuan ustaz, saya yang pohon cerai kerana kami sudah tidak tinggal bersama sejak tahun 2008.

Selain itu, suami juga mengabaikan tugasnya sebagai suami dan ayah. Saya dibiarkan seperti gantung tidak bertali. Jadi saya minta cerai, berdosakah saya ustaz? Adakah saya dikategorikan sebagai isteri nusyuz?

Suami juga tidak pernah solat, dan bila saya suruh atau nasihat, dia kata solat tidak boleh dipaksa. Biar dapat hidayah, baru akan solat. Walaupun suami baik, dia agak berkira bab duit dengan saya dan selalu dengar cakap emak dan kakak sahaja. Pandangan saya langsung tidak dipeduli.

Saya runsing memikirkan hal ini. Bagaimana saya dapat meneruskan hidup ini terutama memberi kehidupan yang sempurna kepada anak?

JAWAPAN:

Saya tidak tahu kenapa puan bercerai dengan begitu cepat. Kalau ikutkan puan baru berumahtangga sejak 2006, maksudnya belum sampai belum sampai tiga tahun puan sudahpun tuntut cerai.

Mungkin ada sesuatu yang puan tidak dapat menanggung atau puan tidak dapat bersabar dengan perangai suami. Meminta cerai dari suami kadang-kadang menjadi tabiat sesetengah wanita yang tidak sabar dengan kerenah suami.

Di dalam menjaga hak seorang isteri Islam memperuntukkan fasakh (membatalkan nikah) yang boleh dituntut oleh isteri dari kadi atau hakim Mahkamah Syariah bagi dengan alasan yang syarie bagi membatalkan nikah mereka.

Takrifnya, fasakh adalah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

Hikmah fasakh dinyatakan ada tiga perkara seperti berikut:

Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.

Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.

Menunjukkan keunggulan syariat Allah SWT yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-Nya.

Berdosa atau tidak puan dalam menuntut cerai itu urusan Allah SWT. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam rumahtangga puan.

Sebenarnya setiap pasangan suami isteri adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga ikatan pernikahan sehingga ke akhir hayat serta mencari jalan bagi mengatasi sebarang masalah yang timbul.

Masalah sebenarnya bukan rekaan Allah SWT untuk sengaja menyusahkan hambanya. Malahan manusia sendiri yang mendedahkan dirinya atas sesuatu kejahatan dan kesalahan dan harus bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri tanpa menyalahkan sesiapapun.

Suami tidak bertanggungjawab antara alasan puan, bukan suami puan seorang yang tidak bertanggungjawab malah ramai lagi lelaki yang sama macam perangai bekas suami puan. Bayangkan sahaja kalau kesemua mereka meminta cerai?

Puan juga mendakwa bekas suami tidak solat. Dia tidak solat sejak bila? Kalau dia tidak solat sejak puan kenal dia dan tiba-tiba didakwa dia tidak jaga solat, menjadi alasan mengapa puan tidak sukakan dia, itu adalah kurang tepat. Peliknya manusia apabila tidak suka semuanya nampak buruk.

Saya kalau boleh tidak mahu rumahtangga orang Islam dirobohkan dengan sewenang-wenangnya. Saya mahu mengajak kaum muslimin berusaha mempertahankan rumahtangga, keruntuhan institusi keluarga adalah permulaan kepada permasalahan negara.

Mengikut kajian, kebanyakan anak-anak serta remaja yang berpeleseran adalah berpunca daripada broken family. Dalam persoalan ini jika puan mempunyai alasan yang kukuh dan syarie, maka tindakan puan tidaklah jatuh nusyuz. Malahan nusyuz itu sendiri membawa maksud yang lain.

Nusyuz bermaksud seorang isteri meninggalkan rumah tanpa izin suami, tidak taat kepada suami sedangkan suami melaksanakan tanggungjawabnya kepada ahli keluarga.

Suami hanya dengar cakap ibu dan kakak dia sedangkan cakap isteri tidak didengar. Adalah terlalu awal untuk puan menghukum suami dengan demikian.

Masalahnya kadang-kadang orang perempuan terlalu ingin melihat suami mendengar cakapnya dan kalau ada yang tidak didengar maka dituduh suami mendengar tak dengar cakap isteri.

Puan berumahtangga dari tahun 2006 hingga 2008 baru tiga tahun. Tetapi bekas suami puan menjadi anak kepada ibu untuk 30 tahun (kalau umurnya 30) begitu juga sebagai seorang adik kepada kakak-kakaknya.

Saya tidak nafikan bahawa suami mestilah meletakkan kepentingan isteri di hadapan tanpa menafikan kedudukan ibu bapa dan adik-beradik.

Sekarang puan sedih kerana kehilangan suami. Bukan mudah untuk melangsungkan kehidupan sebagai ibu tunggal. Untuk menghilangkan kesedihan puan kena banyak bersabar, terima apa yang berlaku sebagai takdir dari Allah ada hikmah di sebaliknya.

Jangan kenang yang sudah lepas kerana mengenang yang lepas akan jadikan puan terus diselubungi keresahan dan kesedihan sekali gus mengganggu aktiviti seharian. Dalam memberi pendidikan kepada anak, puan harus memainkan peranan sebagai seorang ibu dan ayah.

Adalah sukar bagi anak itu melalui kehidupan tanpa seorang ayah. Anak itu berhak mendapat kasih sayang dari ayahnya, jangan dihalang dan dibantah. Melainkan memang dikhuatiri sekiranya ayah boleh merosakkan masa anaknya dengan tabiat yang tidak baik.

Kebiasaannya mahkamah akan memerintahkan bekas suami menyediakan perbelanjaan yang secukupnya mengikut kemampuannya. Jika perbelanjaan yang diberi oleh suami masih tidak memadai hendaklah dipohon penambahan perbelanjaan anak melalui peguam.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

memang la kalau hak cerai diberikan pada wanita, memang habis janda satu malaysia. saya pun teringin sangat nak bercerai ngan suami saya sekarang. sbb apa,
1. kedekut. tapi saya fikir balik kedekut2 pun dia masih byr rumah, kereta dan bagi duit kat saya untuk belanja walupun sikit. dulu saya tak pernah makan maggi tapi sekarang dah tak kisah.
2. malas solat. yang ni mmg tabiat dia. tapi saya pikir2 balik saya dah nasihatkan dia, yang tu antara dia dgn Allah.
3. semua kerja saya uruskan termasuklah upah mesin rumput, upah baiki bumbung dan macam2 lagi la. lagi satu hal2 berkaitan keluarga mak dia pun saya kena uruskan. tapi saya pikir2 balik biarlah, mungkin Allah nak bagi pahala lebih.
4. suka merajuk..saya mmg pening bab ni... betul2 tak tahan.. sikit2 merajuk, sikit2 merajuk, sampai saya tak dak can nak merajuk la kiranya. kalu saya ni salah konfemla saya kena pujuk tapi bila suami salah pun saya kena pujuk jugak... rasa nak pecah kepala pun ada.
5. sangat ego... apapun saya ni cakap kena puji dia n famili dia...walaupun hakikatnya saya ni asal dari famili yang agak kaya juga dan tak boleh cakap lebih dari apa yang dia ada.
6. sangat lemah dari segi seksualiti. saya tak kisah sangat hal macam ni. tapi paling penting saya nak ingatkan para suami, walaupun hal ni kurang, tapi bagi isteri paling penting ialah mereka mahu sentiasa disayangi.
7. pemalas. sangat pemalas. suami boleh tengok saya buat kerja tungkus lumus, tapi dia senang2 je tengok tv,tambahan di rumah mertua, saya yang kena handle semua macam saya ni betul2 anak bukan menantu pun. lucu jugak rasanya.
8. semua masalah terbeban atas saya sebab suami selalu jadikan saya pembuat keputusan untuk sesuatu masalah yang dia tidak boleh selesaikan.bukan dia tak boleh buat keputusan tapi kalaulah katakan keputusan itu salah nanti saya yang dipertanggungjawabkan.
9. sangat rigid maksudnya apa saya buat kena sempurna. saya pun manusia juga. kadang2 saya pun ada buat salah. kalau berleter saya ni sampai pening kepala. saya pun hairan bila org kata org perempuan saja berleter, tapi suami saya pun banyak berleter juga.
kesimpulan disini, suami kita banyak silap salahnya. walaupun macam tu saya sangat sayangkan suami. pada saya asalkan tak ada orang ke3, saya masih boleh tahan sabar.

Tanpa Nama berkata...

caya la... kat akak... kira isteri solehah ni... yang penting kaum hawa nak disayangi....

Tanpa Nama berkata...

Salam...saya salute puan yang memberi response pertama di atas...Moga Allah memberi pahala dan rahmat yang besar diatas kesabaran puan...Wahai para suami semua...

Tanpa Nama berkata...

Peliknyer manusia ni...tinggal solat boleh sabar...kedekut kat anak isteri boleh sabar...kaki botol...masih boleh sabar...tapi bila suami nak kahwin lain...ish tak boleh sabar...sedangkan...yang kahwin lebih satu tu Allah memang dah tulis dalam Al-Quran...tapi yang tinggal solat..,minum arak tu larangan keras Allah dalam Al-Quran...fikirkanlah...mungkin itu sebab utama ramai perempuan masuk neraka kot agaknya...sebab suka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal

Tanpa Nama berkata...

Semua lelaki merasakan hak mereka berhak berkahwin lebih dari satu...tapi kalau nak memberi nafkah batin pada isteri yang seorang tu pun tak mampu macammana nak layan dua atau lebih...keindahan hidup muslim bukan pada nafsu je...I can see her point mempertahankan rumahtangganya...

Tanpa Nama berkata...

pelik betulla tanpa nama 12.46 am nie, akak kat atas tak penah kata suaminya kaki botol, yang ko tambah2 nak nyedap cite apehal. satu lagi bila masa akak tu manghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. solat memang antara Allah n hambanya bukan macam berhutang dengan manusia.lepas tu apa salahnya bercerai kalau akak tu tak sanggup bermadu. mungkin kalau tak bercerai nanti dia akan bomoh2kan isteri ke2 ke, layanan pada suami berubah ke, apa salahnya akak tu nak cari kebahagiaan dirinya sendiri. mungkin akak ni tak mahu dosanya bertambah. kalau suaminya nak kawin lain dia punya hallah. tambahan nafkah batin pun tak berkeupayaan, macammana ni...? sah2 boleh minta fasaakh...

Tanpa Nama berkata...

apa yg kakak tu cakap ada logiknyer untuk tk bercerai, tapi ada juga tk logiknya. kita dh mmg maklum, kalau pompuan ni dh sayang laki, buat apa pun tkpe. itu hak dia. tk juga salah apa yg dikatakan oleh tanpa nama 10.59pm tu. kadang2 pompuan ni rela diseksa baik dari segi mental mahupun fizikal kerana CINTA. bagus la tu. kan isteri disuruh banyak bersabar untuk ke syurga. tapi sebagai manusia biasa, kalau berlarutan perkara yg berlaku pada kakak ni, sy pun tk jamin yg kakak ni blh tahan. sementara kita sihat, mgkin tk nmpak mslh, tapi kalau kita yg sakit, time tu baru tau sbb suami dh biasa termanja dan hanya nk disayangi dan bukan menyayangi. terpulang la pada kehendak masing2, janji Tuhan dah cakap CERAI TU HALAL. pandai2 la.

Tanpa Nama berkata...

sudahlah...apapun, isteri ada hak untuk menuntut/memfailkan cerai bila suami tak penuhi tanggungjawab