11 September 2009

Projek Pelabuhan Bukti Kerjasama Baik Kerajaan Pusat, Kata Nik Aziz

KOTA BAHARU, 10 Sept:- Persetujuan kerajaan pusat untuk membina pelabuhan di Semerak, Pasir Puteh, di bawah pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Timur (ECER) membuktikan ia memberikan kerjasama terbaik kepada kerajaan negeri Kelantan walaupun terdapat pelbagai kontroversi antara kedua pihak ketika ini, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya beliau dimaklumkan oleh Kerajaan Pusat mengenai persetujuan bagi membina pelabuhan berkenaan, dan pihaknya sudah menyediakan satu tapak khas di kawasan itu bagi tujuan tersebut.

"Ini membuktikan bahawa Kerajaan Pusat memberikan kerjasama yang terbaik kepada kerajaan negeri walaupun di sebalik pelbagai kontroversi yang timbul sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Paip Besi Keluli di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 11, di sini, Khamis.

Isnin lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat Manik Urai berkata, Umno bersetuju untuk berbincang dengan PAS berhubung kepentingan umat Islam dalam negara walaupun terdapat perbezaan dalam fahaman serta ideologi politik, namun Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS menolaknya.

Nik Aziz hari ini berkata walaupun beliau menolak sebarang perbincangan melibatkan politik, namun dalam hubungan untuk pembangunankan negeri bagi kepentingan rakyat beliau mengalu-alukan langkah Kerajaan Pusat itu.

Sementara itu merujuk kepada kilang besi keluli yang pertama di Kelantan yang dirasmikan majlis pecah tanah hari ini Nik Aziz berkata, dengan adanya kilang berkenaan ia dapat mengatasi masalah kebocoran air akibat penggunaan paip lama di Kelantan, sekaligus mampu mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) di Kelantan.

Beliau berkata kira-kira 48 peratus daripada NRW berpunca daripada kebocoran air akibat penggunaan paip lama.

"Selain memberi manfaat dengan meningkatkan penggunaan paip baru yang lebih berkualiti, kilang ini juga mampu menjana pertubumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri," katanya.

Pembinaan kilang paip besi keluli itu akan dilaksanakan oleh Intaaj, sebuah syarikat usahasama di antara Syarikat Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan dengan Kinson Manufacturing Sdn Bhd dan Yayasan Kraftangan Kelantan.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bukti tidak bekerjasama ialah tidak mahu bayar royalti minyak, tumbangkan BN PRU13.....