06 November 2009

Isu MB Perak: Panel 5 hakim dengar rayuan

Masa depan kerajaan Pakatan Rakyat Perak dan menteri besar yang digulingkan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, kini terletak pada keputusan rayuan yang sedang didengar oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Keputusan rayuan bukan sahaja akan menentukan menteri besar Perak yang sah tetapi juga akan menjadi duluan bagi kes-kes yang serupa pada masa depan.

Mahkamah tertinggi di negara ini itu juga akan mentafsir kuasa raja-raja untuk membubarkan dewan undangan negeri serta pelantikan menteri besar.

Panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.

Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.

MalaysiaKini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semoga YB Dato Sri Nizar beroleh kejayaan. Syabas Dato Sri Nizar. Teruskan perjuangan menegak keadilan. Amin.