23 Januari 2010

Bubar Dun: 10 ribu Pemuda PAS Perak bersedia

7 Safar 1431H
Nazri Abdullah

IPOH, 21 Jan: Satu Himpunan 10 ribu Pemuda PAS Perak (HEMPAP) akan diadakan pada 31 Januari ini sebagai persiapan dewan itu menggerakkan jentera mereka berdepan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pada bila-bila masa.

Pemangku Ketua Pemuda Pas Perak, Nur Amin berkata selain bagi menyatakan kesediaan dewan itu berdepan Pilihan Raya Negeri, ianya juga sebagai bukti jentera pemuda Pas negeri itu bersedia berdepan Umno Barisan Nasional.

"Program julung kali ini diadakan bagi menyatakan kesediaan Pemuda PAS Perak terhadap Pembubaran Dun Perak pada bila-bila masa.

"Kita yakin dengan program tersebut, pemuda PAS bersedia berdepan Umno BN dalam pilihanraya ini," katanya di pejabat Pemuda PAS negeri hari ini.

Program sehari tersebut akan berlangsung di Darul Taklim Kubu Gajah, di Selama, Larut dan akan dirasmikan Pesuruhjaya PAS negeri Ustaz Abu Bakar Hussin.

Turut akan dilancarkan pada program tersebut adalah baju khas jentera pilihanraya Perak oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan.

Antara pimpinan yang akan memberi ucapan pula termasuk Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Antara menarik pada program berkenaan termasuk persembahan nasyid, pertunjukan pentas, gerai pameran dan jualan serta program derma darah.

"Ayuh pemuda bersama kami gerakkan kawan, sahabat dan rakan anda untuk hadir demi menunjukkan kepada rakyat bahawa PAS cintakan demokrasi.

"Kita minta hadir bersama dengan memakai baju berwarna hijau sebagai simbolik kepada PAS yang kita dokongi ini," katanya.

Harakahdaily.Net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YB, jam berapa mula perhimpunan?