29 Januari 2010

[Fikrah Islamiah] Tindakan anda jangan malukan Islam

13 Safar 1431H
Ahmad Baei Jaafar

Isu kepala babi dalam masjid, isu menghina sultan, isu bakar gereja dan sekolah adalah isu yang sangat sensitif pada masa ini. Sehingga ke hari ini kita tidak tahu siapa sebenarnya ampunya angkara. Walaupun sesetengahnya sudah ada tangkapan tetapi kita tidak tahu indentiti mereka sebenarnya. Polis masih merahsiakannya kerana masih dalam siasatan.

Sebenarnya perkara ini boleh dilakukan oleh siapa saja sama ada orang Melayu, atau India, atau Cina, orang tua, orang muda, bahkan kanak-kanak. Pastinya manusia bukan binatang dan bukan jin. Kita juga tidak tahu motifnya, adakah kerana balas dendam, atau sengaja ada pihak nak jolok sarang tebuan, ataupun sengaja membaling batu sembunyi tangan.

Tanda tanya ini kita serah kepada pihak berkuasa menyelesaikannya. Kita tiada jawapan dan tidak boleh menuduh siapa yang bertanggungjawab. Tunggulah dahulu siasatan dan perbicaraan mereka di mahkamah.

Tetapi tahukah anda bahawa perbuatan mereka yang terlibat itu sangat menyusahkan orang lain. Tindakan mereka mencetuskan sangkaan buruk sesetengah pihak terhadap Islam walaupun bukan angkaran orang Islam.

Berdasarkan itu, saya menyeru kepada semua orang Melayu dan seluruh orang Islam hindarilah daripada kerja yang sia-sia apatah lagi yang melanggar undang-undang Negara dan Islam. Ketahuilah di saat ini kalau kita membuat satu kesalahan, orang ramai malah dunia akan salahkan Islam. Mereka tidak salahkan individu yang terlibat.

Oleh sebab itu, setiap yang terlintas di dalam hati, fikirkan risikonya. Kalau risikonya hanya kita seorang diri tidak mengapa, tetapi lazimnya kesalahan kita akan menjejaskan nama baik ibu bapanya, nama baik bangsanya, nama baik pemimpinnya dan nama baik agamanya. Percayalah setiap kesalahan kita, ramai orang mendapat malu. Dan apabila Islam dipandang hina kerana perbuatan kita, tentulah kesalahannya sukar diampunkan.

Jadi, berhati-hatilah selepas ini setiap apa yang anda fikirkan.

Tiada ulasan: