28 Mac 2010

Nik Aziz sokong guna 'Allah' pada Rukun Negara.

11 Rabiulakhir 1431H.
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 27 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dangan gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar kalimah Allah digunakan bagi menggantikan perkataan Tuhan dalam prinsip pertama Rukun Negara.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, penggunaan kalimah Allah itu mampu merungkai kekeliruan dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.

"Sekarang ni rakyat keliru, Allahpun Tuhan, Nabi Isa pun Tuhan, kubur keramat pun tuhan, jadi hak mana sebenarnya tuhan, tapi kalau kita pakai satu nama Allah sahaja, yang mereka tertanya-tanya tu, kita sedia bagi penjelasan yang mana satu tuhan sebenarnya," ujarnya pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Warga Orang Kurang Upaya (OKU) di Perdana Resort hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood dan Pengarah Urusetia, Abdul Aziz Yunus, Setiausaha Sulit khas, Rosdi Abdullah dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Isu pindaan perkataan Allah pada prinsip Rukun Negara dibangkitkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ujar Tuan Guru Nik Aziz lagi, jika masih timbul kekeliruan berhubung penggunaan perkataan Allah itu, PAS bersedia mengambil tanggungjawab memberi penjelasan kepada masyarakat.

Mengulas kedudukannya sebagai Mursyidul Am PAS pula, beliau sedia memikul amanah tersebut jika terus diberi kepercayaan oleh parti.

Namun, beliau juga menyatakan kesediaan untuk berundur jika parti mempunyai pengganti yang lain.

Ketika ditanya Jom Heboh di Kelantan pula, Nik Aziz berkata, kerajaan negeri akan sentiasa membuat apa yang sedia ada,namun akan dipantau dan diselaraskan dengan undang-undang dan berkaitan yang wajib mematuhi enakmen hiburan Kelantan.

"Tuan-tuan kena ingat, Islam ni orang lain kata tak boleh, tapi kita kata boleh, mereka pula akan kata adanya huru-haralah bila Islam memerintah, kemunduran dan sebagainya, ertinya walaupun mereka ini Islam, mereka ini mengatakan Islam tidak boleh,"katanya lagi.

Nik Aziz berkata pembentukan kerajaan Kelantan masa kini adalah hasil daripada kepercayaan rakyat dan akan diselaraskan dengan kehendak Islam termasuklah dalam hiburan.

"Alhamdulillah, Jom Heboh dapat berjalan dengan baik, tetapi kita baiki apa yang ada dalam program mereka ini agar selari dengan peraturan hiburan dalam negeri kita.

"Kita akan terima jika Jom Heboh ingin diadakan pada tahun hadapan sekiranya mereka akur dengan kehendak kerajaan," kata beliau

Tiada ulasan: