06 April 2010

Dakwaan isu balak tidak berasas

20 Rabiulakhir 1431H
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 4 April: Dakwaan bahawa kerajaan Kelantan mengenakan bayaran kepada syarikat yang mahukan konsesi balak, tidak berasas sama-sekali.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, laporan yang tersiar dalam sebuah blog itu sengaja mehu menimbulkan isu dan mengelirukan orang ramai.

“Ini tak ada dalam pengetahuan saya," katanya selepas melakukan pelepasan konvoi 1,300 motosikal berkuasa tinggi di perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini, hari ini.

Berucap sebelum itu beliau berkata, Islam sentiasa menggalakkan umatnya berada dalam keadaan sihat dengan melakukan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri.

“Kita di Kelantan tidak pernah menyekat aktiviti sebegini tetapi ia mestilah berlandas kepada peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berkata, Kelantan ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Islam tidak menganjurkan keganasan atau peperangan.

Menurutnya program bermotosikal sesuai untuk menggambarkan Kelantan sebagai sebuah negeri yang aman damai.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana persatuan yang ingin menjadikan Kelantan sebagai tempat penjelajahan bermotosikal.

“Alhamdulillah setakat ini perhimpunan motosikal berkuasa tinggi dapat diadakan bagi kali keempat di Kelantan.

“Dan ia akan dijadikan sebagai acara tahunan. Perhimpunan kali ini juga berjaya menghimpun peminat motosikal besar dari negara Asean dan asing,” katanya.

Seramai 1,500 peserta dan sebanyak 1,300 motosikal berkuasa tinggi termasuk dari Argentina, Thailand, Brunei, Pakistan dan Singapura menyertai program berkenaan.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail, Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Ahmad Mahmood dan Pengerusi Bersama Kelantan Bike, Dr Nik Omar Nik Daud.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: