06 April 2010

Kerajaan Pakatan terbukti mendahulukan rakyat

20 Rabiulakhir 1431H
Mohd Nor Yahya

PENGKALAN CHEPA, 4 April: Negeri-negeri Pakatan Rakyat ternyata mendahulukan rakyat dalam setiap program, biar pun slogan itu menjadi motto utama kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Beliau berkata, banyak dasar dan gerak kerja di negeri Pakatan Rakyat ternyata mendahulukan rakyat.

Di Kelantan ada skim Takaful Kifaalah yang memberi wang saguhati sebanyak RM1,500 kepada setiap warga emas berusia 60 tahun apabila meninggal dunia.

Begitu juga di Selangor ada skim mesra usia emas dan Tabung Warisan Anak. Manakala di Pulau Pinang setiap warga emas menerima RM100.

“Pelbagai program di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan jelas menunjukkan rakyat benar-benar didahulukan,” katanya pada satu program di Putik semalam.

Perdana Menteri melancarkan slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pada 5 April selepas menduduki kerusi perdana menteri.

Idris juga berkata, bagi memastikan rakyat tahu kegagalan Umno dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan, program penerangan di peringkat akar umbi perlu diperhebatkan.

Katanya, kegagalan itu berpunca amalan rasuah politik menjadi darah daging mereka.

Kata beliau amalan memberi wang kepada perwakilan ketika pemilihan parti sudah menjadi kelaziman kepada pemimpin Umno.

“Dan sekarang makin teruk lagi apabila kerajaan BN sanggup menjadi agen kepada Yahudi apabila sanggup menggunakan khidmat Apco Worldwide. Ini boleh mengancam keselamatan negara,” ujarnya.

Pada majlis itu beliau juga berharap petugas parti di semua peringkat perlu mengembeleng tenaga menerangkan kepada masyarakat pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang.

Katanya, PAS mempunyai jentera penyebaran maklumat agak terhad untuk menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai.

“Kita perlu mendekati golongan atas pagar atau di luar pagar supaya mereka faham terhadap apa berlaku,” ujar beliau.

Hadir sama pada program berkenaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakub dan Datuk Husam Musa.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: