06 April 2010

Ujian sakit.

Antara pelawat yang datang ziarah menjenguk keadaan kesihatan saya kelmarin ialah Setiausaha Kerja PAS Perak, Sdr. Khalilul Rahman Abd. Samad yang sekarang telah mempunyai blognya sendiri, http://dengantenang.blogspot.com, tahniah dengan prestasi beliau yang dapat menyaingi zaman . Semasa berada diwad sekitar setengah jam beliau sempat memaklumkan sebuah posting terbarunya untuk ana buka dan sekali lagi dia ingatkan sebelum menamatkan ziarahnya. "jangan lupa YB ya..".

Pagi ini sesudah solat subuh saya sebagaimana rutin harian sayamengadap komputer riba yang dibawa untuk persiapan bahan blog untuk diselesaikan oleh Setiausaha Peribadi di pejabat hari ini. Kesempatan itu saya gunakan untuk melayari blog Sdr. Khalilul dan tulisan yang bertajuk " Ujian Sakit" dan bersumberkan dari Cangkul Hijau Blog serta beberapa tambahan dari beliau saya baca sehingga habis dan memilihnya untuk tatapan dan tazkirah untuk semua.

Terima kasih saya ucapkan kepada Sdr. Khalilul dan blogger Cangkul Hijau...

Buat renungan kita bersama,InsyaAllah.

Kami doakan YB segera sembuh

Ada orang kata, ketika sakit barulah kita tahu akan nikmat sihat. Bila kita kesempitan barulah kita menyedari akan nikmat keluasan masa yang ada. Bila kita keseorangan, ketika itu baru disedari akan nikmat hidup berteman.

Saudara, kadang kala kita jarang terfikirkan tentang nikmat yang diberi oleh Allah swt kepada kita. Kita sering lupa dan alpa dengan bermacam nikmat yang dikurniakan tatkala ingin mengejar kemewahan dunia semata. Dalam Islam, kita tidak disuruh untuk meninggalkan atau melupakan dunia seperti mana firman Allah yang bermaksud:

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”(surah Al-Qasas 28:77)

Jelaslah saudara, dunia perlu dicari dan akhirat pun perlu dicari. Mencari dunia bukan untuk melupakan akhirat dan mencari akhirat bukan bermakna melupakan dunia. Yang perlu kita fahami ialah bukan persoalan dunia yang menjadi masalah tetapi soal dosa.

Apabila kita gagal menghubungkan kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka di situlah menjadi punca segala kerosakan dan kebobrokan. Manusia yang hidup tanpa panduan akan hidup sesuka hati dia tanpa mempedulikan soal dosa dan pahala. Seolah-olahnya kehidupan di dunia ini adalah segalanya.

Kalau dia rasa nak rasuah, dia akan rasuah untuk komisen ratusan juta. Kalau dia nak bunuh orang, dia akan upah untuk membunuh. Kalau dia syok mengumpat dan fitnah orang, habis semua orang jadi mangsa. Kalau nak zalimi orang dengan kuasa yang ada, yang jadi hak pun akan dinafikanya.

Banyak lagilah perangai manusia yang tak sedar diri ni dek kerana lupa bahawa segala yang dilakukannya sepanjang hidup bakal dihitung oleh Allah di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud:

“Pada hari ini, kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada kami, dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.”
(surah Yasin36: 65)

Berbalik kepada isu nikmat tadi, ternyata Allah taala itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang kerana terus menerus mengurniakan pelbagai macam nikmat sama ada kita sedar mahupun tidak. Tetapi, ada kalanya Allah taala menarik sedikit nikmat tersebut sebagai contoh dengan memberikan kita sakit seketika.

Kesakitan itu bukan bermakna Allah taala membenci kita, sebaliknya sakit itu sebenarnya adalah sebagai satu ujian bagi membuka minda dan hati kita untuk mengkoreksi diri dan seterusnya menginsafi bertapa kerdilnya kita di dunia ini.

Ingatlah saudara, kalau sakit itu adalah ujian untuk membawa kita kepada erti kesabaran dan keinsafan maka, nikmat pula adalah ujian untuk mengajak kita ke arah makna kesyukuran dan ketundukan.

2 ulasan:

nasir berkata...

Assalamua'laikum..mudah-mudahan YB cepat sembuh..
teruskan perjuangan menegakkan agama Allah..
moga terus istiqomah..ansha-Allah..

Zul-Elle berkata...

Assalamualaikum...

Saya nak kongsikan satu buku yang agak santai pembacaannya dan amat sesuai rasanya tatkala terlantar keseorangan... Bukunya "Sakit Pun OK". Tak ingat pulak nama pengarangnya. Tapi, memang menarik ceritanya... kisah pengalaman penulisnya sendiri yang menjalani pembedahan kerana Apendiks... Wassalam. Semoga Tuan sembuh dan sihat semula, amin.