28 Mei 2010

GMJ seru seluruh rakyat sertai bantahan judi

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Sekretariat Gerakan Membantah Judi (GMJ) mendesak Kerajaan Malaysia segera menarik balik pemberian lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan bermula Jun ini.

GMJ yang berpusat di Kedah disertai oleh sayap pemuda ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP), Pemuda Gerakan serta 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Mereka membuat gesaan tersebut dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat wakil mereka malam tadi.

GMJ menegaskan, mereka akan menggunakan apa sahaja cara dan ruang yang ada untuk membantah keputusan yang disifatkan sebagai 'tidak masuk akal' itu.

"Kami juga menyeru seluruh rakyat negeri Kedah, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik untuk bangkit membantah keputusan ini," kata kenyataan itu.

GMJ kesal dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein bahawa lesen judi itu diluluskan bagi mengawal aktiviti perjudian haram dan dengan pengawalan kerajaan, aktiviti itu akan dapat dilakukan dengan lebih teratur.

Sebaliknya mereka menegaskan bahawa kewujudan judi sukan ini akan menambahkan lagi kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat serta meruntuhkan tamadun manusia walaupun mendatangkan perolehan lumayan kepada negara dalam bentuk kewangan.

Dalam kenyataan itu GMJ juga memberitahu mereka bukan mahu menghalang kemajuan sukan negara bahkan akan terus menyokongnya namun industri sukan negara akan hancur apabila ia terlibat dengan pertaruhan.

Selain itu, mereka berpandangan kerajaan wajib mendapatkan pandangan awam yang menentang kelulusan lesen baru di samping kewujudan lesen-lesen yang ada yang sudah terlalu banyak serta mahu kerajaan bertindak untuk mendapatkan sumber yang baik untuk membangunkan negara ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Nasir Zakaria ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengulangi seruan kepada seluruh rakyat untuk menyertai Himpunan Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.

Beliau juga memberitahu, Pemuda Gerakan yang menyokong penuh bantahan itu sedang menunggu kelulusan daripada Gerakan Pusat untuk sama-sama menyertai himpunan itu.

"Pemuda Gerakan memang menyatakan kenyataan bersama tapi untuk himpunan mereka tidak boleh sertai sehingga mendapat kelulusan daripada Gerakan Pusat.

"Mereka bersama membantah tapi polisi parti itu kalau dapat permit baru boleh turut serta," katanya yang juga ahli parlimen Padang Terap.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau ada lesen kerajaan menghalang bussiness judi bola jatuh ketangan pr/dap sebab ia akan dimonopoli oleh berjaya group tapi kalau haram ini membuka peluang kepada kroni dap untuk mendapat sumber pendapatan untuk biayai pilihanraya ke 13. judi bola tetap ada sama ada lesen atau tidak, tetap ada ini hakikat. tapi yang pelik sebahagian melayu pas dungu yang jadi palaci DAP berdemo terutama tantawi tanpa usul periksa. kalau nak demo minta haramkan semua judi termasuk yang masyuk diselangor dan penang.lu fikirlah sendiri.