08 Mei 2010

JUDI HALAL ; BN bagaikan tikus membaiki labu!

22 Jamadil Awal 1431H.
Muhammad Nuruddin Bashah

Teori kawalan Barisan Nasional adalah terlalu teruk dan tidak masuk akal. Malah strategi yang BN gunakan untuk membaiki status sosial, jenayah dan gejala sosial adalah umpama penyelesaian ala barbarian dan amat merisaukan rakyat pada hari ini.

Mengapa kenyataan ini wujud? Suatu ketika dahulu kerajaan ingin menyelesaian permasalahan AIDS yang menjadi petaka besar sosial kita. Penyelesaian adalah dengan memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada rakyat dengan tujuan jangka pendek (cukup dangkal) untuk mengelak perkongsian dan pengedaran virus HIV. Tingkah laku manusiawi, penyebab utama penyakit tersebut merebak tidak disentuh atau ditegaskan melainkan dalam siri kuliah agama dan Forum Ehwal Islam menunjukkan penyelesaian yang bersifat pemisahan antara teknikal dan moral telah menjadi tradisi negara ini

Islam menggalakkan penyelesaian secara menyeluruh, antara teknikal yang bersifat kawalan fizikal dengan kawalan melalui pembaikan moral, akhlak dan nilai keagamaan masyarakat. Jika berhadapan dengan kaum bukan Islam, mereka perlu diterapkan nilai moral sejagat secara menyeluruh juga.

Hari ini, Piala Dunia yang akan berlangsung di Afrika Selatan menjadi antara topik utama media. Seperti biasa pertaruhan dan perjudian akan berlaku apabila adanya pertandingan. Ini lumrah manusia sejak zaman ketamadunan Yunani lagi.

Sebagai rakyat Malaysia, saya cukup terkejut dengan kenyataan Datuk Awang Adek semalam yang disiarkan dalam semua media perdana berkenaan sanggupnya kerajaan untuk mempertimbangkan untuk menghalalkan judi yang belum wujud di negara ini. Tidak cukup dengan Sport Toto, Magnum da sebagainya, kini judi sukan pula ingin diwujudkan.

Kata beliau lagi, kerajaan ingin mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan dengan alasan mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Kerajaan BN tidak memandang langsung amaran Allah bahawa judi kaya dengan kerosakan dan malapetaka berbanding keuntungan sementara yang tidak berkekalan. Judi pada kerajaan Malaysia adalah punca pembangunan fiskal dan ubat untuk merawat defisit yang menggunung. Kata para menteri BN, jika ia judi haram, ia tidak membawa keuntungan fiskal dan ekonomi negara. Jika ia diperlesenkan, didaftarakan, maka ia HALAL TAYYIBAN malah boleh memajukan negara.

Kata Allah kepada orang beriman, "Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti ( daripada melakukan perkara-perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil) ?" (Al Maidah : 90)

Al Maisir di dalam ayat di atas bermakna judi, apa sahaja jenis perjudian sama ada ia menyumbang kepada ekonomi negara atau tidak. Sama ada di main di belakang rumah kedai atau di Genting Highland.

Adapun perjudian itu diharamkan kerana ia membawa kepada berbagai-bagai keburukan seperti permusuhan, dan juga boleh menjerumuskan seseorang kepada memakan harta haram atau harta orang lain secara batil sedangkan memakan harta orang dengan cara yang batil itu ditegah oleh Allah seperti firman-Nya :

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil ) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah." (Surah al-Baqarah : 188)

Pengharaman ini juga termasuk seperti sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :

"Sesungguhnya orang-orang yang menceburkan diri dengan mengambil harta Allah secara tiada hak, maka baginya api neraka di hari Kiamat." (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Dahulu UMNO secara tidak malu cuba mengaitkan PAS iaitu sebuah gerakan Islam dengan lambakan arak di Selangor. Kini mereka terpaksa menelan ludah sendiri dengan kenyataan seorang “Menteri Melayu Islam UMNO” yang berucap akan menambahkan lagi sektor judi di Malaysia.

Adakah kita sebagai umat Islam tidak malu apabila Pemuda DAP sendiri menganggap judi adalah perosak masyarakat Cina di Malaysia? Judi bukan sahaja musuh Islam malah menjadi musuh kaum bukan Islam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa. Ini alasan kebudak-budakan dan hanya layak disebut oleh pelajar sekolah rendah sahaja. Contohnya ada seorang berkata ‘ Alah kalau bukan aku curi kabel elektrik ni, nanti akan ada orang curi jugak, lebih baik aku kebas dulu’. Ini antara kalimah yang kerap bermain di bibir si pencuri.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini. Maka bertukarlah selogan ‘Majulah Sukan Untuk Negara’ kepada ‘Majulah Judi Untuk Sukan’. Saya tidak faham apakah teori pembangunan sukan yang menteri BN baca dan telaah. Dalam kesuraman industri sukan negara yang menjadi punca bukan bajet atau kewangan yang mana judi dikatakan mampu memberi kemudahan pembelajaan sukan negara, sebaliknya bakat, latihan dan disiplin yang pelru diutamakan. Jika rasuah sukan masih tinggi, etlit tidak berdisiplin serta sistem latihan yang tidak bersungguh, duit hasil judi berjuta juga masih tidak menyebabkan pasukan negara kita mengalahkan Brazil atau Perancis nanti dalam Piala Dunia.

Menteri BN ingin juga menjadi aktivis sosial untuk membaikkan moral. Lihat kenyataan ini "Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram,” kata Awang Adek.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya lagi.

Adakah bermain judi di tempat berlesen tiada masalah sosial? Si penjudi Genting Highland memang tidak meminjam wang dari along atau mungkin tidak memaksa isteri memberi wang untuk berjudi, tetapi mereka kebanyakannya pemimpin dan tokoh negara. Mereka juga korporat dan aristokrat yang banyak memegang kuasa dan pengaruh di dalam negara. Adakah dosa mereka itu akan memajukan negara? Malah jenayah kolar putih, kongsi gelab, rasuah dan duit kopi menjadi amalan si penjudi berlesen itu. Bukankah lebih besar petakanya?

Oh tidak mengapa! Kerana mereka berjudi tetapi berlesen!

Dahulu ada suara-suara jahil pemimpin negara ini menyuarakan cadangan cawat besi untuk mengelakkan jenayah rogol. Mereka sanggup mengaku ingin menjaga maruah da martabat wanita tetapi sanggup juga memberi idea kuno yang ‘jakun’ malah cukup melondehkan aib wanita moden hari ini.

BN tidak layak bercakap soal moral apatah lagi ingin bercakap melondeh Dato’ Zaid Ibrahim. Malah Zaid sendiri mengaku UMNO dan BN adalah sarang bagi kegiatan arak dan judi di kalangan elit Melayu.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional Perak

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Selepas satu kemungkaran, mereka cuba mengadakan kemungkaran lain.

Selepas satu kezaliman, mereka bergerak ke kezaliman yang lain.

Berdoalah supaya kerajaan UMNO/BN diruntuhkan dari pemerintahan negara ini, sebelum Allah murka dan memusnah seluruh isi negara Malaysia secara keseluruhannya. Semoga Allah menyelamatkan pencinta-pencinta dan pejuang-pejuang yang menentang kezaliman UMNO/BN.

Tanpa Nama berkata...

Wahai penyokong2 umno! kamu semua lihat dan fikir serta muhasabah lah untuk memperbetulkan diri supaya beriman dengan Allah dan menjadi hamba yang bertakwa, janganlah kamu ikut jejak pemimpin kamu; maksiat diutamakan, judi dihalalkan, rasuah dibudayakan, yang halal menjadi haram dan yang haram dihalalkan. Janganlah mengundang kemurkaan Allah, ambillah iktibar dari apa yang berlaku di negara-negara jiran yang sering ditimpa musibah dengan gempa bumi, banjir besar, tsunami, letupan gunong berapi dan berbagai-bagai lagi bencana yang menimpa.

Marilah kita bersama-sama mengubah struktur politik, sosial, pentadbiran di negara ini agar kita dapat menyumbang kepada tuntutan syariat Islam yang sebenarnya. Umno dah tak boleh diharapkan dari mula hinggalah kehari ini untuk mentadbir mengikut cara Islam, kerana dasar mereka sekular,sebab itu apa saja mereka boleh lakukan dengan tidak mengambil kira halal dan haram. Sama-samalah kita fikirkan dan muhasabah demi mendapatkan keredhoan serta memperolehi sifat ketakwaan Allah swt.