16 Julai 2010

Gua Tian Li Xia

3 Syaaban 1431 H


Jangan Betulkan Kasutmu di Ladang Tembikai; Jangan Betulkan Topimu di Bawah Pokok Plum;

Asal Usul:
Pada zaman Dinasti Tang, iaitu antara tahun 618 hingga tahun 907 Masihi, ada seorang jurukhat tersohor di negeri China yang bernama Liu Gongquan. Dengan sifatnya yang setia dan jujur, serta kepandaiannya dalam memberikan nasihat kepada pemerintah, beliau telah dilantik sebagai Naib Ketua Kementerian Hal Ehwal Awam.

Pada ketika itu, ada seorang pegawai bernama Guo Ning yang terus dinaikkan pangkatnya menjadi Ketua Kaunti Youning, iaitu Kaunti You di provinsi Shaanxi pada masa ini, setelah menghantar dua orang anak gadisnya ke istana. Hal itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pegawai yang lain.

Maharaja pada ketika itu, iaitu raja Tangwenzong, bertanya kepada Liu Gongquan dengan nada yang marah, "Guo Ning itu bapa tiri kepada nenda beta. Beliau diberi gelaran Hulubalang Kanan, dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan selaku pegawai kerajaan. Apa salahnya beta melantiknya sebagai ketua bagi sebuah kaunti yang begitu kecil itu?"

Liu Gongquan menjawab dengan penuh hormat, "Mereka yang tidak puas hati dengan hal ini, semuanya berfikir, Guo Ning boleh mendapat jawatan ini kerana beliau telah menyogok tuanku dengan dua orang anak gadisnya itu."

Raja Tangwenzong menjelaskan,"Mereka salah fahamlah! Dua orang anak gadis Guo Ning itu dihantar ke istana, untuk menemani bunda beta, bukannya untuk dijadikan gundik beta."Liu Gongquan terus menjawab,

"Memanglah betul, tapi tindakan tuanku itu justeru seperti membongkok membetulkan kasut di ladang tembikai, dan membetulkan topi di bawah pokok plum. Bagaimana tuanku boleh mengharapkan semua orang memahaminya?"

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Gua Tian Li Xia", singkatan kepada ungkapan "Gua Tian Bu Na Lu, Li Xia Bu Zheng Guan" ini, membawa erti, ketika lalu di ladang tembikai, janganlah mencangkung untuk membetulkan kasut, untuk mengelak daripada disyaki sedang mencuri tembikai, manakala apabila berada di bawah pokok plum pula, janganlah mengangkat tangan untuk membetulkan topi, untuk mengelak daripada disyaki sedang memetik buah plum. Peribahasa ini selalu digunakan untuk mempersendakan tindakan yang mudah menimbulkan kecurigaan orang lain.

CRI/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BAGUS !!