25 September 2010

BN takut kepada kartun, Pejabat Zunar diserbu Polis.

16 Syawal 1431H.

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Polis menyerbu pejabat kartunis Zunar iaitu Gedung Kartun di Brickfield dipercayai ada kaitan dengan keluaran karya terbaru mereka Cartoon O-Phobia.

Perkara itu dimaklumkan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang kini ditahan di balai polis Brickfield.

Beliau juga memaklumkan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Saya sekarang sedang ditahan di balai Brickfeild untuk soal siasat dan akan dibawa ke IPD PJ," katanya melalui sistem khidmat pesanan ringkas SMS sebentar tadi.

Menurutnya pejabatnya yang juga menempatkan Gedung Kartun diserbu oleh sepuluh anggota polis yang diketuai oleh ASP Ari Krishna daripada balai polis Brickfields.

Peguam Latheefa Koya juga difahamkan sudah berada di sana.

Selain digeledah, web Malaysiakini melaporkan sebanyak 70 naskah buku terbaru tersebut juga dirampas.

Menurutnya lagi program pelancaran buku Cartoon O-Phobia malam ini di Dewan Perhimpunan Cina-Selangor (KLSCAH) tetap diteruskan dan akan dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Cartoon-O-Phobia mengandungi 100 muka surat dan semua lukisan di dalamnya adalah berwarna penuh dengan memuatkan isi yang lebih pedas dan tajam berbanding buku-buku sebelumnya.

Buku ini dijual dengan harga pasaran RM25 dan juga boleh dibeli secara online di web tersebut.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan Cartoon-O-Phobia diilhamkan apabila Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku-buku kartunnya iaitu 1 Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun.

Secara peribadi jelasnya, buku ini adalah lebih pedas, tajam dan padat berbanding dengan buku-buku beliau sebelum ini.

Sumber : Harakahdaily.

Tiada ulasan: