24 September 2010

Wang Yang Bu Lao

14 Syawal 1431 H

Masih Tidak Terlambat untuk Membaiki Kandang Meskipun Sudah Kehilangan Kambing

Asal Uusl:

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang (tahun 475-221 Sebelum Masihi), negeri Chu ditadbirkan oleh raja Chuxiang. Bagaimanapun, baginda serta pegawai-pegawai kanan kerajaan selalu bersikap acuh tak acuh terhadap urusan negara, dan menurutkan hati sahaja mencari keseronokan dan mengecap kemewahan, sehingga menyebabkan negeri mereka berada di ambang kehancuran.

Pada ketika itu, ada seorang pegawai bernama Zhuang Xin yang nampak bahawa suatu bahaya besar akan menimpa negerinya tidak lama lagi. Oleh itu, pada suatu hari, ketika mengadap raja Chuxiang di istana, dia terus memberikan nasihat dengan berkata,

"Ke mana sahaja tuanku pergi, tuanku sentiasa dikelilingi oleh segolongan orang yang mahu mengampu tuanku. Mereka menggunakan apa jua cara untuk menggembirakan tuanku, sehingga menyebabkan tuanku lupa akan tugas untuk menguruskan negeri. Hamba bimbang, jika keadaan ini berlanjutan, lambat-laun negeri kita pasti akan tumbang."

Mendengar kata-kata Zhuang Xin itu, raja Chuxiang menjadi berang,"Berani kamu mempersenda beta dan negeri beta dengan kata-kata yang berniat jahat ini!"

Zhuang Xin pula menjelaskan dengan mengatakan,"Hamba memang tidak berani mempersenda negeri Chu. Namun, hamba benar-benar ada firasat yang bahaya besar akan menimpa negeri ini tidak lama lagi."

Apabila melihat rajanya begitu degil, Zhuang Xin pun meminta baginda supaya mengizinkannya meninggalkan negeri Chu. Dia mahu pergi ke negeri Zhao untuk tinggal di sana buat seketika.

Raja Chuxiang akhirnya bersetuju dengan permintaan Zhuang Xin itu. Lima bulan kemudian, benar seperti yang dijangkakan oleh Zhuang Xin, raja negeri Qin telah mengetuai tenteranya, melancarkan serangan yang mendadak ke atas negeri Chu.

Banyak wilayah negera tersebut yang berjaya ditawan oleh negeri Qin, hingga menyebabkan raja Chuxiang terpaksa hidup dalam buangan. Pada ketika itu, barulah baginda teringat akan nasihat Zhuang Xin itu.

Maka, baginda segera menghantar seorang pengikutnya ke negeri Zhao untuk menjemput Zhuang Xin yang tinggal di sana. Ketika bertemu dengan Zhuang Xin, raja Chuxiang bertanya kepadanya,

"Apa yang boleh beta buat sekarang ini?"Zhuang Xin menjawab,"Masihlah tidak terlambat untuk membaiki kandang meskipun sudah kehilangan kambing."

Kemudian, dia terus mengemukakan beberapa cadangan untuk membangunkan semula negeri Chu, serta mendapatkan semula wilayahnya yang telah ditawan oleh negeri Qin itu. Dengan bantuannya, situasi di negeri Chu benar-benar semakin pulih.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Wang Yang Bu Lao" atau "Masih Tidak Terlambat untuk Membaiki Kandang Meskipun Sudah Kehilangan Kambing" ini membawa erti, meskipun sudah melakukan kesalahan atau kesilapan dan mengalami kerugian,

masih tidak terlambat bagi kita untuk memulihkan keadaan asalkan kita sanggup mengambil iktibar daripada kesalahan dan kesilapan yang telah kita lakukan, dan segera mengambil tindakan yang berkesan untuk menebus kerugian.

CRI/-

1 ulasan:

Awanama berkata...

Samalah macam di Perak. Terus meningkatkan kepercayaan kepada rakyat, insyaAllah PRU 13 akan mengajar mereka yang merampas hak rakyat. Dan negeri-negeri lain, teruskan memperkukuhkan kandang masing-masing. Bimbang pengembala terlalu selesa sehingga tertidur dalam mengingati amanat Allah.