07 Oktober 2010

Orang Asli rasa dihargai kerajaan negeri

27 Syawal 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 5 Okt: Ketua Perhubungan Orang Asli Dun Galas, Pandak Panjang Ey berkata, masyarakat Orang Asli tidak rasa tersisih dan malahan rasa dihargai oleh kerajaan negeri melalui majlis rasmi kerajaan bersama mereka.

Beliau menyatakan demikian sewaktu berucap di Majlis Ramah Mesra Pimpinan Kerajaan Bersama Masyarakat Orang Asli di Kediaman Rasmi JKR 10, di sini.

Beliau juga berharap agar kerajaan negeri sentiasa mengadakan program-program seperti itu di masa yang lain.

Justeru, katanya masyarakat Orang Asli di Dun berkenaan akan memastikan calon PAS memenangi pilihan raya kecil nanti.

Pandak akan mewujudkan jentera daripada masyarakat Orang Asli sendiri.

“Di Dun Galas terdapat sebanyak enam peti undi Orang Asli dan saya akan wujudkan jentera dari masyarakat Orang Asli,” katanya.

“Jentera ini akan melakukan kerja-kerja kempen kepada masyarakat Orang Asli dan juga kepada orang masyarkat lain juga.

Ujarnya, beliau akan memberi tumpuan kepada masyarakatnya terlebih dahulu tetapi sekiranya dipanggil untuk berceramah di mana-mana kawasan berkempen, beliau bersedia.

Seramai 80 orang masyarakat Orang Asli hadir di majlis berkenaan yang terdiri dari enam unit peti undi (UPU) yang terdapat di dalam Dun Galas iaitu UPU Pos Brooke, UPU Sungai Ber, UPU Pos Hau, UPU Pos Belatin, UPU Pos Balas dan UPU Pos Bihai.

Untuk rekod, terdapat seramai 1996 orang pengundi dari masyarakat Orang Asli di dalam Dun Galas dan majoritinya dari suku kaum Temiang.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: