12 November 2010

Baiki mutu, bukan tuduh kurang patriotik

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 12 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) mahu Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memikirkan cara untuk menarik minat rakyat untuk menyertai tentera.

Beliau berkata, kementerian berkenaan harus merangka satu pelan jangka panjang, sebelum menuduh orang bukan Melayu kurang menyertai bidang ini kerana kurang semangat patriotik.

"Kalau perkhidmatan dalam tentera itu boleh dirangka dengan satu corak,sehingga apabila seseorang bersara dari angkatan tentera pada usia 40 tahun, mereka mempunyai kerjaya yang jelas sebagai jurutera,pegawai pentadbir,pegawai logistik dan sebagainya kerana mereka mendapat latihan yang profesional dalam bidang tertentu.

"Ini boleh menarik orang bukan Melayu menyertai bidang ini kerana pilihan kerjaya ini bagus.

"Ini yang sepatutnya difikirkan oleh Menteri Pertahanan. Jangan fikir bila masuk tentera,bila dah pencen jadi pemandu teksi atau pun cukup dengan pencen yang diperoleh," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Beliau juga menyifatkan dakwaan Zahid itu sebagai mencerminkan pemikiran pemimpin Umno yang masih dibelenggu dengan prejudis perkauman.

"Kenyataan ini adalah berasaskan kepada corak pemikiran yang masih kuat tersemat di kalangan pemimpin Umno bahawa orang-orang bukan Melayu ini adalah orang asing dan lebih setia kepada negara mereka.

"Inilah asas kepada perkauman yang berjaya ditimbulkan Umno dalam permainan politik mereka.

"Saya rasa masa dan zaman itu telah berakhir. Saya yakin semua rakyat Malaysia telah memutuskan hubungan kerakyatan mereka dengan negara-negara asing. Mereka semua rakyat Malaysia yang mempunyai kesetiaan yang sepenuhnya kepada Malaysia," katanya.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media sama, M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) memberitahu, beliau akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat bagi mencadangkan gaji Menteri Pertahanan dipotong RM10 setiap bulan.

Tegasnya,usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) itu bagi membantah dakwaan Zahid yang disifatkan telah menyinggung perasaan orang bukan Melayu.

"Zahid tidak boleh melarikan diri dengan menafikan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan orang bukan Melayu," katanya.

Zahid Selasa lalu membuat dakwaan itu sewaktu menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) yang meminta beliau menyatakan jumlah anggota tenteta baru yang diambil dalam tempoh dua tahu lalu mengikut pecahan kaum.

Zahid bagaimanapun menafikan beliau mendakwa demikian dalam sidang medianya kelmarin.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: