20 Disember 2010

DAP Mahu PAS Pertahan Hak Bukan Islam

14 Muharam 1432H

KEPALA BATAS: DAP berikrar akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dengan syarat PAS turut mempertahankan hak penganut agama lain.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, PAS perlu 'beri muka' kepada parti itu memandangkan DAP sedia mempertahankan hak Islam di negara ini habis-habisan.

"Islam adalah perkara utama dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah agama rasmi di negara kita... DAP akan pertahankan habis-habisan tapi dengan syarat hak bukan Islam untuk beragama harus ada.

"Hak itu harus dipertahankan oleh PAS kerana DAP pertahankan PAS... bagi muka sikit kepada DAP," katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di sini, Ahad.

Pada 1990 Karpal yang juga Ahli Parlimen Gelugor pernah memberi amaran kepada PAS supaya langkah mayatnya dahulu jika ingin menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.
Bagaimanapun menurut Karpal, kini beliau sedar bahawa kenyataannya 20 tahun lalu sudah tidak releven.

"Perkara ini (isu Islam)boleh dibincangkan dengan baik, saya tak mahu Barisan Nasional (BN) mengeksploitasi isu ini lagi.

"Kita boleh bincang dengan baik... saya sedia berbincang dengan Tuan Guru Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) dan Tuan Guru (Abdul) Hadi (Awang)... ia perlu dibincang dengan segara," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira lebih 2,000 perwakilan yang hadir.

Konvensyen bersejarah untuk kali ke 2 itu juga menarik perhatian lebih 1000 pemerhati dari seluruh negara.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hayati sejarah politik / pentadbiran negara Fiji.jangan sampai jadi di Malaysia..
Na'uzubillah!!!