19 Disember 2010

Konvensyen ke-2 persiap hadapi pilihan raya

13 Muharram 1431H.

KEPALA BATAS, 19 Dis: Selepas tepat setahun berlalu, Pakatan Rakyat mengadakan Konvensyen Ke-2 hari ini di Dewan Millenium, Kepala Batas.

Setahun lalu iaitu pada 19 Disember juga, Pakatan Rakyat mengadakan konvensyen pertamanya di Dewan MBSA, Shah Alam.

Kali ini mereka dijangka mengadakan konvensyen terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13 dan juga pilihan raya kecil ke 14 untuk sessi ini iaitu untuk Dun Tenang, Labis, Johor.

Konvensyen yang disertai oleh 1800 perwakilan ini dijangka akan mempersiapkan semua pemimpin dan penyokong Pakatan untuk menghadapi kedua-dua pilihan raya penting itu kerana ia akan mencorakkan masa depan politik negara.

Majlis pagi ini akan bermula di luar dewan dengan persembahan kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia iaitu silat, tarian naga dan silamban.

Ia akan diikuti nyanyian lagu Negaraku dan seterusnya ucapan dari tiga pemimpin utama parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP.

Datuk Seri Dr Wan Azizah, Presiden PKR akan memberikan ucapan pertama diikuti oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan seterusnya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selepas itu, majlis berehat sementara mereka melawat pameran kejayaan dari negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah di samping Perak (setahun setengah di bawah Pakatan) dan Terengganu (1999 - 2004).

Majlis kemudiannya diteruskan dengan perbentangan kertas kerja utama konvensyen dari tiga pemimpin Pakatan dan akan dibahaskan oleh 12 orang perwakilan.

Pada sebelah petangnya, ucapan penggulungan akan dibuat oleh pemimpin utama parti masing-masing iaitu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka kemudiannya akan menantangani dokumen bersama yang diluluskan dalam konvensyen ini.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: