02 Disember 2010

UCAPAN PERBAHASAN ADUN TEJA.

Terima kasih Datuk Yang Dipertua.

Salam sejahtera dan selamat pagi diucapkan kepada kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan juga ketua-ketua jabatan kerajaan. Teja ingin turut serta mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Belanjawan Negeri Perak tahun 2011.

Sebelum saya bermula, saya ingin maklumkan kepada dewan yang mulia ini bahawa rakyat Hutan Melintang sangat marah kerana wakil rakyat mereka dianiaya dua hari yang lepas. Tindakan ini mungkin akan menjejaskan peluang kemenangan Datuk Yang Dipertua yang berhasrat untuk bertanding di kawasan Hutan Melintang.

Pembasmian Miskin Tegar

Datuk Yang Dipertua,

YAB Menteri Besar menyatakan dalam ucapan bajetnya bahawa pembasmian kemiskinan merupakan agenda utama kerajaan. Ini adalah satu agenda yang baik. Namun, saya ingin merakamkan perasaan kesal saya kerana saya tidak nampak keikhlasan dan kesungguhan kerajaan negeri dalam menjayakan agenda ini.

Pertama, tahap garis miskin tegar yang digunapakai oleh kerajaan kini, iaitu RM420 sebulan untuk pendapatan isi rumah adalah amat tidak munasabah. Dalam kehidupan realiti, RM420 sebulan sukar untuk menyara hidup seseorang, apatah lagi seisi keluarga? Garis kemiskinan tegar yang teramat rendah ini hanya akan menyenangkan kerajaan negeri, tetapi tidak membawa apa-apa makna kepada warga miskin tegar. Sebab walaupun pendapatan isi rumah melebihi RM420 sebulan, keadaan mereka masih lagi daif.

Kedua, bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri yang bertujuan untuk mengurangkan kesukaran hidup golongan miskin tegar terlalu sedikit. Sebagai contohnya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi bantuan makanan yang diberikan setiap bulan untuk 4 ribu keluarga miskin tegar. Setiap keluarga hanya dapat sekitar RM2.80 sehari. Jika sesebuah keluarga mempunyai 4 orang anggota, maka seorang hanya mendapat RM0.70 sehari sahaja. Apakah makna RM0.70 ini? Justeru, saya menyeru kerajaan negeri menambah bajet untuk program-program membasmi miskin, supaya program-program ini lebih efektif.

Tanah

Selain daripada menambah peruntukan, sekiranya kerajaan negeri serius dalam membasmi kemiskinan, mereka juga harus bersikap telus dan adil dalam pengagihan kekayaan negeri, terutamanya tanah dan rumah.

Difahamkan bahawa kerajaan negeri berharap dapat menyifarkan setinggan menjelang hujung tahun 2012. Namun, memandangkan cara pengurusan dan pengendalian kerajaan sekarang, saya tidak yakin objektif ini akan dapat dicapai.

Dalam tempoh kurang daripada dua tahun negeri di bawah pentadbiran UMNO Barisan Nasional, kami dapati banyak penyelewengan dan salahguna kuasa di dalam isu pengagihan tanah kerajaan. Selalunya, tanah tidak diberikan kepada orang-orang miskin yang tidak mempunyai rumah atau orang-orang yang sudah lama mengusahakan tanah tersebut, tetapi kerajaan negeri memberikan tanah kepada OKU. OKU ini bukan Orang Kurang Upaya, tetapi Orang Kuat UMNO!

Perkara sebegini terlalu kerap berlaku dan kami yakin bahawa semua ini bukannya isolated case, dengan izin, tetapi salahguna kuasa secara sistemik.

Sebagai contoh, di DUN Hutan Melintang (walaupun rakan saya YB Hutan Melintang telah dianiaya, tetapi nasib pengundi Hutan Melintang tetap kami perjuangkan) DUN Hutan Melintang ada satu Rancangan Kampung Tersusun Simpang Ampat seluas kira-kira 7000 meter persegi. RPT ini pada asalnya telah diwartakan kepada golongan miskin yang memerlukan tanah sebagai tapak rumah. Namun, apabila senarai diumumkan, orang-orang yang mendapat lot rumah adalah orang-orang kuat UMNO. Mereka ini merupakan pemegang jawatan di peringkat bahagian atau cawangan UMNO, termasuk Setiausaha Bahagian Bagan Datoh dan dua orang ketua cawangan.

Di DUN Teja, terdapat lebih kurang 20 orang petani dan penternak ikan hiasan sedang mengusahakan sebidang tanah seluas 50 ekar yang terletak di Kampung Sungai Itek, Gopeng. Ramai di kalangan mereka telah mengusahakan tanah tersebut lebih daripada 30 tahun. Cubaan demi cubaan untuk memohon tanah tersebut telah gagal. Akhirnya, kerajaan negeri UMNO Barisan Nasional meluluskan tanah tersebut kepada sebuah syarikat, Safura House of Diamond Sdn Bhd. Dan secara kebetulannya, pemilik syarikat ini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, yang juga merupakan seorang ahli majlis MBI. Apakah ini rakyat diutamakan?

Selain itu, dalam satu projek kampung tersusun, yang juga terletak di Kampung Sungai Itek, Gopeng, 127 lot rumah telah disediakan untuk permohonan warga miskin di sekitar kawasan Gopeng. Namun, apabila senarai pemohon yang berjaya mendapat lot rumah dipamerkan, kami dapati bahawa 10 lot rumah telah dirizabkan di bawah “Kuota Ketua Bahagian UMNO Gopeng”!

Selain daripada Ketua Bahagian, Bendahari Bahagian Gopeng, 7 orang AJK Bahagian Gopeng dan seorang AJK Pemuda Bahagian Gopeng telah diberi lot rumah RPT tersebut. Bukan setakat itu, rakan perniagaan (business partner) Ketua UMNO Bahagian Gopeng juga mendapat satu lot di bawah kuotanya.

Saya ingin membacakan serangkap pantun yang memberi gambaran yang jelas tentang apa yang berlaku di negeri kita:

Orang kampung turun ke dusun,
Singgah sejenak di pinggir kota;
Kerajaan bina kampung tersusun,
UMNO sapu di depan mata!

Datuk Yang Dipertua,

Inilah apa yang berlaku di negeri kesayangan kita. Perumahan atau tanah yang sepatutnya disediakan untuk warga miskin telah dirampas oleh pemimpin-pemimpin yang rakus. Pemimpin UMNO kaya-raya, rakyat di bawah papa kedana.

Untuk makluman dewan yang mulia ini, apa yang menyedihkan saya adalah kebanyakan orang miskin di kawasan tersebut adalah orang Melayu, dan pemimpin rakus yang tipu dan merampas hak orang Melayu miskin ini adalah mereka dari UMNO, yang kononnya membela nasib orang Melayu. Ini adalah satu bukti yang kukuh bahawa UMNO bukan juara rakyat, tetapi juara rampas tanah rakyat!

Saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai warganegara dengan melaporkan kes-kes penyelewengan ini kepada SPRM. Namun, surat yang dibalas oleh pihak SPRM berbunyi seperti ini “Siasatan telah selesai dijalankan. Timbalan Pendakwa Raya membuat keputusan mengenakan tindakan tatatertib ke atas seorang pegawai yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Kampar. Tiada pendakwaan ke atas mana-mana pihak” Orang UMNO menyeleweng, kakitangan kerajaan pula dikambinghitamkan. Dengan pendedahan ini, saya harap semua pegawai-pegawai kerajaan di dalam dewan ini dapat melihat bagaimana cara UMNO Barisan Nasional menghina kakitangan kerajaan.

Viatak Enterprise

Datuk Yang Dipertua,

Selain daripada lot tanah perumahan, sikap kerajaan negeri yang tidak adil dalam pengendalian tanah pertanian juga membawa natijah yang buruk kepada suasana pelaburan di negeri kita.

Sebuah syarikat bernama Viatak Enterprise Sdn Bhd telah menerokai tanah bekas lombong seluas 30 ekar di kawasan Kota Baru, Gopeng. Syarikat ini mengusahakan ternakan ribuan itik dan ikan, serta sebuah ladang kelapa sawit. Ia merupakan pengeluar makanan itik yang kedua besar di negeri Perak dan ia memiliki sebuah kilang pemprosesan itik yang bernilai RM2.8 juta. Viatak Enterprise telah membuat permohonan tanah beberapa kali tetapi ditolak.

Pada Jun 2009, kerajaan negeri telah meluluskan tanah tersebut kepada sebuah syarikat yang lain, iaitu Gopeng Berhad. Selepas Gopeng Berhad mendapat tanah tersebut, Gopeng Berhad menawarkan Viatak Enterprise untuk menyewa tanah tersebut daripada mereka. Apakah rasionalnya kerajaan memberikan tanah tersebut kepada Gopeng Berhad tetapi bukan Viatak Enterprise, sedangkan kedua-dua pihak membuat permohonan dan kegunaan tanah adalah sama.

Kini, setelah tawaran Gopeng Berhad tidak diterima oleh Viatak Enterprise, mereka telah membuat laporan polis dan akan menjalankan pengusiran paksaan. Sekiranya pengusiran paksaan ini berjaya, Viatak terpaksa tutup kilang pemprosesannya dan 80 pekerja akan kehilangan kerja. Adakah ini polisi Satu Malaysia? Justeru itu, saya menggesa kerajaan negeri membatalkan kelulusan kepada Gopeng Berhad dan memberikan hak milik tanah tersebut kepada Viatak Enterprise Sdn Bhd.

Sekiranya pihak kerajaan tidak mengubah polisi tanah yang tidak adil seperti ini, rakyat negeri Perak akan terus dianiaya dan pelabur tidak akan melabur di negeri kita.

Kecekapan Pentadbiran

Datuk Yang Dipertua,

Ucapan YAB Pangkor menyentuh tentang peningkatan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam, saya ingin mengambil kesempatan untuk membincangkan isu ini juga.
YAB Pangkor menyebut bahawa “perkhidmatan awam perlu beralih daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara yang menyenangkan rakyat…” Namun, dalam realiti, tahap kecekapan pentadbiran pihak kerajaan masih di tahap yang sangat rendah.

Sebagai contohnya,

Masalah lembu dan kerbau berkeliaran menjadi salah satu punca kepada banyak kemalangan maut. Baru-baru ini, satu kes kemalangan maut disebabkan oleh kerbau telah berlaku di Teluk Intan. Masalah ini telah lama menghantui kita di seluruh negeri Perak. Kita tidak boleh hanya menyalahkan penternak lembu dan kerbau kerana mereka tidak diberi tanah untuk membina kandang.

Sebagai wakil rakyat yang bersikap professional, saya telah mengambil inisiatif untuk cuba menyelesaikan masalah ini bersama-sama dengan pihak kerajaan. Pada 24hb Mei 2010, pejabat saya telah menghantar surat kepada pihak Majlis Daerah Kampar agar dapat mengadakan dialog antara penternak lembu dan pihak majlis. Namun, saya menerima surat balasan daripada pihak majlis mengatakan bahawa “Mesyuarat Penuh Bil. 5/2010 bertarikh 27 mei 2010 telah memutuskan bahawa tidak ada keperluan untuk mengadakan dialog tersebut”

Tanpa berputus-asa, saya telah mengemukakan soalan bertulis tentang isu lembu dan kerbau ini pada sidang sesi 3hb Ogos. Jawapan yang diberikan kepada saya berbunyi “JAWAPAN AKAN DIKEMUKAKAN KEMUDIAN”. Tetapi sampai hari ini, jawapan ini belum sampai ke tangan saya. Selepas itu, pejabat saya menghantar sepucuk surat lagi kepada exco yang bertanggungjawab atas PBT, YB Chenderiang, pada 11hb Ogos. Beberapa minggu kemudian, saya menerima surat daripada pihak exco yang berbunyi “…saya mencadangkan tuan mengadakan mesyuarat/perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, Pentadbir Tanah Kampar, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Polis, Ketua-ketua kampong dll untuk menyelesaikan masalah ini.”

Inikah cara kerajaan negeri yang dikatakan sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang? Inikah kerajaan negeri yang dikatakan prihatin kepada rakyat? Saya berharap YAB Pangkor boleh memberikan jawapan yang menyakinkan dalam ucapan penggulungan.

Datuk Yang Dipertua,

Apa yang saya nyatakan tadi adalah pengalaman saya sendiri, selaku wakil rakyat yang mempunyai sedikit akses dalam agensi kerajaan. Bagaimana pula dengan rakyat biasa yang langsung tidak ada akses kepada agensi kerajaan?
Persoalan-persoalan dalam bajet:

1) Cukai Tanah Semasa 2011 dianggar akan meningkat dari RM186,700,000 (seratus lapan puluh enam juta tujuh ratus ribu ringgit) kepada RM227,634,789 (dua ratus dua puluh tujuh juta enam ratus tiga puluh empat ribu). Adakah peningkatan sebanyak 22% ini mengambarkan bahawa kerajaan negeri akan menaikkan kadar cukai tanah di Perak?

2) Royalti ke atas air 2011 dianggar akan meningkat 100% dari RM15 juta ke RM30 juta. Apa yang menjadikan kerajaan negeri sehingga yakin sangat boleh dapat peningkatan sebanyak 100%? Adakah ini bermakna kerajaan negeri akan meningkatkan tarif air?

Sekian, terima kasih.

3 ulasan:

Orang Melayu Gopeng berkata...

Tahniah Adun Teja...
Teruskan usaha murnimu
Tak sia2 saya pangkah YB...

Tanpa Nama berkata...

Bagus YB ..ada fakta ..tapi umno ni biasalah ..juara menipu rakyat

Tanpa Nama berkata...

Salam..Sy dilahirkan di bagan datoh.setelah membaca kenyataan di atas,hancurlah harapan sy utk memohon sedikit tanah tapak rumah di bumi Allah ini.puas sy bertanya ke sana sini bagaimana org lain boleh memiliki tanah2 kerajaan di perak.tp jawapan tetap sama..TAK TAHULAH SAYA..
mohon bantu sy apa yg perlu sy lakukan... terima kasih.
(emmas.signature@gmail.com)