18 Februari 2011

DAP minta KDN henti beri alasan tempang


15 Rabiulawal 1432H [MOD]-

DAP mendesak kerajaan berhenti bermain politik dan memberikan alasan tempang berhubung penolakan terhadap hasrat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri bagi mengurangkan jenayah.

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua (kanan) berkata alasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein - bahawa tindakan itu bertentangan dengan perlembagaan - itu tidak bertanggungjawab.

"Alasan menteri dalam negeri, bahawa pasukan polis bantuan bertentangan dengan perlembagaan pincang sepenuhnya ekoran tiada sebarang peruntukan menghalang pembentukan pasukan itu, sebagaimana tiada peruntukan menentang penggajian petugas keselamatan," kata Tony.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan tidak berganjak daripada keputusan menolak permohonan Selangor yang mahu meneruskan permohonan menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri kerana ia "bertentangan dengan perlembagaan".

Beliau sebaliknya mendakwa, kerajaan negeri mahu melakukan provokasi sedangkan mereka didakwa tahu ia bercanggah dengan perlembagaan dan tidak masuk akal.

Hishammuddin turut dilaporkan melahirkan rasa terkilan terhadap kerajaan Selangor yang didakwa tidak pernah tampil ke hadapan membantu polis dalam usaha mengurangkan indeks jenayah di negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tony mencabar Hishammuddin membuang semua pagar keselamatan, penghadang automatik dan rumah pengawal keselamatan sekiranya dia benar-benar yakin bahawa kadar jenayah menurun.

Tony menambah, kerajaan negeri selama ini bertolak ansur dengan pembinaan pagar yang munasabah - walaupun keabsahannya dibangkitkan - kerana simpati dengan perasaan takut penduduk kepada jenayah yang memuncak pada 2008 dan 2009.

"Tindakan rakyat Malaysia itu sebaliknya membuktikan bahawa mereka tidak percaya polis mempunyai sumber yang cukup untuk melindungi mereka dan sebaliknya terpaksa mengambil alih fungsi itu sendiri," kata Tony.

"Bagaimanapun, sekiranya diberi peluang, rakyat Malaysia tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar pengawal keselamatan dan tinggal dalam kawasan berpagar yang tidak selesa, yang menjadikan bandar seperti Petaling Jaya umpama "zon perang".(Mkini)

Tiada ulasan: