24 Februari 2011

Gempa : Rakyat Malaysia Di Wellington Turut Merasa Bahang

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 23 FEB : Rakyat Malaysia di ibu negara New Zealand,Wellington, turut merasakan bahang selepas gempa bumi melanda Christchurch di South Island, dengan magnitud 6.3 semalam.

Mohamad Ali Morad, 51, yang isterinya merupakan pelajar PhD di Victoria University, Wellington (VUW), berkata beliau perlu berwaspada terutama pada waktu kecemasan sebagaimana dinasihatkan oleh Pertahanan Awam New Zealand.

"Saya terpaksa berwaspada selama 24 jam. Bersama tiga orang anak dan isteri,kadang kala kami tidur di ruang rehat bagi memudahkan kami menyelamatkan diri," katanya dalam temubual menerusi telefon dengan Bernama.

Mohamad Ali, yang telah tinggal di Wellington sejak tiga tahun lepas, berkata antara lain setiap keluarga dikehendaki bersiap sedia dengan bekalan makanan untuk seminggu, di rumah dan dalam kereta sebelum bantuan dari pihak berkuasa tiba.

Beliau berkata beliau terpaksa menyediakan sekurang-kurangnya enam liter air untuk setiap orang dalam keluarga, beras mengikut keperluan, lampu suluh dan bateri dan juga radio transistor bagi mendapatkan maklumat terbaru mengenai sebarang kejadian.

Mohamad Ali, yang tinggal di Johnsonville, sebuah kawasan bukit pinggir kota di Wellington, berkata setiap keluarga dinasihatkan menyediakan selimut, dapur gas mudah alih, mee segera dan biskut untuk kegunaan semasa kecemasan.

"Jika kami tinggal di rumah semasa gempa, kami dinasihatkan berlindung dibawah meja makan kerana ia merupakan tempat paling selamat berbanding tempat-tempat lain," katanya.

Seorang pakar seismologi menyebut kemungkinan gempa bumi lebih besar melanda Wellington.

Dilaporkan pakar seismologi menjangkakan kejutan gempa sekuat gempa bermagnitud 6.3 hari ini akan menyusuli gempa bermagnitud 7.1 yang melanda Canterbury pada 4 September tahun lepas, tetapi percaya ia akan melanda lebih awal.

Pakar seismologi Australia Kevin McCue, pengarah Pusat Seismologi Australia,berkata aktiviti geologi mustahil dapat diramalkan, "tetapi ia mirip berlaku secara berbendung".

Pelajar lulusan siswazah tajaan Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Saidatul Akmar Ismail, 38, berkata beliau sentiasa mendapat maklumat terbaru dari media cetak dan elektronik tempatan, serta dari kalangan rakyat Malaysia di ibu negara itu.

Saidatul Akmar dari VUW yang tinggal di Karori, kira-kira 4km dari Wellington, berkata pihak berkuasa tempatan menasihatkan penduduk supaya pergi ke pusat perhimpunan terdekat jika sebarang kejadian tidak diingini berlaku sebelum bantuan dapat diberikan.

Saidatul Akmar berkata Karori Kindergarten yang terletak di seberang jalan depan rumahnya adalah pusat terdekat.

Angka kematian yang disahkan dalam gempa bumi bermagnitud 6.3 Selasa lepas ialah 75, dengan 300 orang dilaporkan hilang.

Gempa itu yang paling teruk melanda New Zealand sejak gegaran bermagnitud 7.8 yang mengorbankan 256 orang di wilayah Hawke's Bay pada 1931.

Gegaran Sept tahun lepas bermagnitud 7.1 memusnahkan 100,000 rumah tetapi tiada nyawa terkorban.

New Zealand terletak pada "Gegelang Api Pasifik", satu kawasan seismik dan volkanik luas yang menganjur dari Chile ke Jepun di sebelahnya dan ke Indonesia di sebelah lagi.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: