17 Februari 2011

Kemarahan Arab kini berpusat di Bahrain

14 Rabiul Awal 1432 H.

MANAMA - Selepas Tunisia dan Mesir, penunjuk perasaan antikerajaan di Bahrain pula memenuhi sebuah dataran di ibu negara itu, semalam, pada hari ketiga protes ganas yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut.

Penduduk negara itu menuntut Perdana Menteri, Sheikh Khalifa bin Salman al-Khalifa berundur selepas memegang jawatan itu selama empat dekad bermula semasa kemerdekaan Bahrain pada 1971.

Orang ramai juga enggan bersurai walaupun selepas pemimpin negara itu memohon maaf atas kematian dua penunjuk perasaan yang ditembak oleh polis.

Selain itu, terdapat laporan awal mengenai jaringan internet di Bahrain mula disekat oleh kerajaan bagi menghalang penunjuk perasaan menganjurkan protes, sama seperti yang berlaku di Mesir, akhir bulan lalu.

Ribuan penunjuk perasaan memenuhi Bulatan Mutiara di Manama yang berfungsi serupa dengan Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir sebagai pusat protes.

Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al-Khalifa mengucapkan takziah atas kematian dua penduduk negara itu dan berjanji akan menyiasat pembunuhan mereka, Selasa lalu.

Sementara itu, Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan berhubung protes di Bahrain, iaitu sekutu kuat Washington.

Ribuan penduduk Bahrain mula memenuhi jalan raya di negara kecil itu sejak Isnin lalu selepas mendapat inspirasi daripada kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir.

Sinar Harian/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

MALAYSIA BILA LAGI NAK BUAT PERUBAHAN? SETELAH 5 DEKAD UMNO/BN MENZALIMI RAKYAT