17 Februari 2011

Kompaun : Makin Lambat, Makin Tinggi Bayar

14 Rabiulawal 1432H [MOD]-
PUTRAJAYA 17 FEB : Mulai 1 Mac ini, pengguna jalan raya akan berhadapan dengan kadar kompaun baru saman kesalahan lalu lintas berikutan penyusunan semula kesalahan lalu lintas, yang dipersetujui Kabinet semalam.

Kadar kompaun baru itu akan dikenakan kepada empat kategori kesalahan berbanding tiga kategori sebelum ini dengan kompaun minimum sebanyak RM40 dan maksimum RM300 bagi kelas kenderaan jenis motosikal 250cc dan ke bawah; dan kelas semua jenis kenderaan lain.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha (gambar) berkata kadar kompaun baru itu ditetapkan mengikut kelas kenderaan; tahap keseriusan dan jenis kesalahan.

“Ia juga akan menyaksikan nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun berdasarkan kepada prinsip ‘The More You Delay, The More You Pay’ (Makin Lewat, Makin Banyak Perlu Dibayar)”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di kementeriannya di sini, semalam.

Tempoh pembayaran dibahagi kepada tiga peringkat iaitu pembayaran pada hari pertama hingga hari ke-15, pada hari 16 hingga hari ke-30 dan pada hari ke-31 hingga hari ke-60.

Bagi saman-saman yang tidak diselesaikan selepas hari ke-60, saman-saman itu akan didaftarkan sebagai kes di mahkamah.

Kong berkata kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan mana-mana kesalahan lalu lintas secara berulang.

“Kompaun berganda itu melibatkan kesalahan dalam kategori pertama, kedua dan ketiga atau kombinasi daripada mana-mana kesalahan daripada kategori tersebut sebanyak tiga kali atau lebih dalam tempoh dua bulan daripada tarikh melakukan kesalahan pertama,” jelasnya.

Kong berkata kadar kompaun bagi kategori pertama dikekalkan maksimum RM300 kerana ia melibatkan kesalahan-kesalahan yang menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan dengan perkhidmatan teksi.

Kadar sama dikenakan kepada kesalahan memandu melebihi daripada had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, mengekori kenderaan dengan rapat, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Kesalahan tersebut adalah serius dan perlu dikenakan kompaun yang lebih tinggi, berbanding dengan kesalahan-kesalahan kecil lain dan ia melibatkan semua jenis kenderaan termasuk motosikal,” kata menteri itu.

Bagi kategori-kategori yang lain, kadar kompaun adalah berdasarkan tempoh pembayaran dan mengikut tahap keseriusan sesuatu kesalahan.

Kong berkata kerajaan memberi pertimbangan kepada penunggang motosikal di bawah 250cc di mana mereka diberi kadar kompaun lebih rendah berbanding dengan lain-lain kenderaan kecuali bagi kesalahan kategori pertama.

Antara lain, Kong berkata Orang Kena Saman (OKS) tidak dikenakan mata demerit di bawah Sistem KEJARA sekiranya mereka menyelesaikan saman tertunggak dalam tiga bulan.

Kong berkata kadar kompaun baru dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan termasuklah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan agensi-agensi berkaitan.

“Ia akan diselaraskan oleh semua agensi penguatkuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Mesyuarat yang diadakan bagi penyusunan semula kesalahan-kesalahan lalu lintas turut melibatkan Badan-badan Bukan Kerajaaan (NGO) dan syarikat insurans, katanya. -BERNAMA

Tiada ulasan: