23 Februari 2011

Muhyiddin bimbang calon BN kalah di Kerdau


20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
TEMERLOH 22 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) supaya jangan terlalu yakin akan menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, jentera BN tidak boleh memandang rendah keupayaan parti lawan yang mungkin mampu menewaskan BN pada pilihan raya kecil itu.

''Dari segi perkiraan kasar, kira-kira 40 peratus pengundi di Kerdau merupakan ahli UMNO dan jika semua ahli parti keluar mengundi, BN sudah boleh menang.

''Jangan terlalu yakin untuk mencapai kemenangan walaupun mempunyai faktor yang boleh membawa kemenangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Dataran Seri Ketumbit, Kerdau di sini hari ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dipilih mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau yang akan berlangsung 6 Mac ini.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan para pemimpin parti komponen BN.

Kerusi DUN Kerdau kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, akibat penyakit jantung pada 12 Februari lalu.

Zaharuddin meninggal dunia selepas terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di rumahnya di Kerdau.

Pada pilihan raya umum lalu, Zaharuddin menewaskan calon Pas, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Allahyarham memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan, meskipun kepimpinan Perdana Menteri semakin diterima, BN tidak seharusnya mengambil sikap sambil lewa terhadap rakyat.

"Pengundi ialah 'raja' jadi kita perlu layan kehendak mereka dengan sebaik-baiknya," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disampaikan oleh parti pembangkang terutama Pas.

Pembangkang jelasnya, tidak mempunyai sebarang agenda pembangunan sebaliknya hanya memutarbelitkan fakta sehingga menyebabkan rakyat terkeliru.-Bernama

Tiada ulasan: