24 Februari 2011

Pesawat Khas ambil rakyat Malaysia dari Libya

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Kerajaan akan menggunakan pesawat sewa khas dari Eropah untuk memindahkan 190 rakyat Malaysia yang merayu supaya dibawa pulang dari Libya yang dilanda pergolakan, selepas kerajaan negara itu enggan membenarkan pesawat tentera masuk.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab memberitahu Bernama Rabu malam bahawa kerajaan Libya telah membuka ruang udara selama 48 jam untuk membenarkan usaha memindahkan warga asing.

“Bagaimanapun kami tidak boleh menggunakan pesawat C-130 (gambar atas) Tentera Udara Diraja Malaysia. Kami kini meneliti pilihan kedua, iaitu menggunakan pesawat sewa khas dari sebuah negara Eropah yang lebih dekat dengan Libya,” katanya.

Mohamed Thajudeen berkata sebaik sahaja butirannya diperincikan, pesawat sewa khas itu akan berlepas ke Tripoli untuk membawa keluar rakyat Malaysia dan menerbangkan mereka ke Rome.

“Malaysia Airlines mengadakan penerbangan berjadual dari Rome yang boleh digunakan untuk membawa mereka pulang. Pada masa yang sama, pesawat C-130 yang ketika ini berada di Slovakia akan terbang ke Rome dan diletakkan dalam keadaan siap siaga,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap TUDM, sebuah lagi pesawat milik TUDM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Pangkalan TUDM Subang dan bersedia untuk membantu operasi membawa pulang rakyat Malaysia di Libya sekiranya perlu.

Libya kini dilanda pergolakan sejak seminggu lepas ekoran tunjuk perasaan rakyat negara itu terhadap pemimpin mereka, Muammar Gaddafi.

Tiada ulasan: