17 Februari 2011

Pilihan raya Mesir dalam tempoh enam bulan

14 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH - Angkatan tentera Mesir mula merangka jadual peralihan kuasa kepada kerajaan yang akan dipilih rakyat dan menegaskan institusi itu tidak mahu mentadbir politik di negara yang diperintah secara kuku besi selama enam dekad.

Tentera Mesir yang dipuji kerana membantu revolusi kekal aman kini berada di bawah tekanan supaya membentuk kerajaan demokrasi baru selain masalah subsidi dan gaji pekerja.

Perarakan menuntut demokrasi di Mesir hampir tamat selepas bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan, Jumaat lalu, tetapi ribuan pekerja bank, kilang, syarikat minyak dan kerajaan melancarkan mogok minggu ini.

"Majlis Tertinggi Tentera berharap dapat memindahkan kuasa kepada kerajaan baru yang dipilih rakyat secara adil dan aman dalam tempoh enam bulan dari sekarang," menurut kenyataan pasukan tentera, kelmarin.

Satu jawatankuasa yang diketuai oleh seorang hakim bebas ditubuhkan dan diberikan tempoh 10 hari untuk menggariskan pembaharuan yang perlu dibuat kepada perlembagaan negara itu sebelum pungutan suara rakyat diadakan.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: