18 Mac 2011

Bawa balik pelajar di Yaman sebelum meruncing

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (Permaya) mengambil tindakan segera dengan kerjasama kedutaan Malaysia untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia di Yaman pulang sebelum kejadian berterusan dengan lebih teruk.

Presidennya, Mohammad Iqbal Abu Yaziz berkata, jika pihaknya mengambil tindakan setelah keadaan terlalu meruncing menyebabkan proses menghantar pulang pelajar Malaysia lebih sukar dan pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi seperti mana yang telah berlaku di Mesir sebelum ini.

“Sedangkan kerajaan Malaysia terpaksa menanggung beberapa lagi penerbangan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia sekarang seperti rakyat Malaysia di Jepun selepas mana kejadian gempa bumi baru-baru ini sehingga menyebabkan pusat nuklear meletup, menyebabkan pencemaran radioaktif dan turut mengalami keadaan yang sama seperti di Yaman iaitu Bahrain yang sedang bangkit untuk menjatuhkan pemimpin negara mereka yang korupsi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, Permaya mengharapkan supaya masyarakat dunia luar terutamanya Malaysia memahami keadaan semasa di sana.

Katanya, proses penerbangan pelajar-pelajar Malaysia di Yaman telah bermula dengan penerbangan pertama pada jam 4.00 pagi 17 Mac dan penerbangan kedua pada jam 10.00 pagi (17 Mac).

Menurutnya, laporan telah diterima bahawa penerbangan pertama telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.55 malam (17 Mac).

“Kami juga berharap supaya pelajar-pelajar Malaysia di Yaman bersabar menunggu giliran masing-masing dan bersedia pada bila-bila masa sahaja kerana seramai 590 orang yang terlibat bagi proses menghantar pulang ke Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, mereka diharapkan supaya menunggu panggilan daripada pejabat kedutaan mengenai giliran penerbangan masing-masing dan tidak mendengar khabar daripada lain-lain pihak bagi mengelakkan salah maklumat yang didapati daripada pelajar-pelajar Malaysia di Yaman.

Beliau menegaskan, Permaya menafikan laporan The Star Online bertarikh 17 Mac, 2011, yang bertajuk Not All M’sian Students Want To Leave Yemen telah mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar-pelajar Malaysia di Yaman dalam keadaan suasana yang selamat dan tidak perlu dibimbangi sehingga terpaksa mengambil tindakan drastik untuk pulang ke tanah air melalui temuramah bersama seorang pelajar Malaysia di Yaman.

“Kami menafikan kenyataan tersebut yang seakan-akan menuduh pelajar-pelajar Malaysia di Yaman mengambil kesempatan untuk pulang ke tanah air dengan percuma selepas kejadian yang sedang berlaku di Yaman sekarang,” ujarnya.

Menurutnya, tidak dinafikan ada beberapa tempat khususnya penempatan dan rumah-rumah pelajar Malaysia di Yaman masih dalam keadaan selamat dan berkeadaan seperti biasa sahaja tetapi perlu diingatkan bahawa dengan pergolakan di Yaman sekarang yang semakin teruk kemungkinan perkara-perkara seperti yang berada dalam memorandum Permaya kepada pihak kedutaan Malaysia di Yaman bertarikh 13 Mac lalu.

Jelasnya, Permaya dengan kerjasama pihak kedutaan mengambil jalan untuk bertindak segera sebelum kejadian tidak diingini ini berlaku, ibarat ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Tambahnya, beberapa laporan yang telah kami dapati daripada pelajar-pelajar Malaysia di Yaman yang tinggal berdekatan dengan kawasan ‘Medan Perubahan’, pada setiap malam akan terdengar bunyi tembak menembak berlaku. Sehingga kini lebih daripada 40 orang mati dan beratus-ratus telah cedera.

Mengikut laporan yang lain pula di kawasan Pro-kerajaan berkumpul, ada di kalangan pelajar Malaysia telah diancam dengan menghunus pisau apabila ditanya sokongannya terhadap anti-kerajaan atau pro-kerajaan.

Menurut laporan lagi, sumber gas juga sudah mula susah untuk didapati dan harga barang sudah mula naik dibeberapa kawasan penempatan pelajar Malaysia di Yaman ini.

Katanya, keadaan di Yaman semakin meruncing apabila Presiden Republik Yaman, Ali Abdullah Soleh tidak akan turun selagi mana tidak berlakunya pertumpahan darah dan kenyataan ini telah membangkitkan lagi semangat pihak anti-kerajaan untuk menyerang pihak kerajaan.

Perlu diingatkan bahawa Republik Yaman adalah negara bebas senjata dan mempunyai kekuatan kabilah-kabilah Arab yang tersendiri.

Ulama Yaman sendiri telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang terlibat dan mati ketika diserang oleh pihak polis atau tentera dikira sebagai syahid.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Awanama berkata...

kalau ada PRK dalam masa terdekat,berulang2kali akan disebut di setiap media untuk membawa mereka pulang.....malang PRK takde lagi,jadi sabar je lah...diorang mendahulukan eakyat jam nak menang pilihanraya je !