23 Mac 2011

Kilang mi, kuew teow kotor diserbu kali ketiga

18 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KEPONG – Kuew teow siap diproses dan dibungkus dijadikan alas ‘bantal’ tempat tidur kakitangan yang berehat selepas penat bekerja, antara situasi boleh dilihat dalam serbuan pihak Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke premis kilang mi, di sini kelmarin.

Selain itu, premis penghasilan mi dan kuew teow yang diedarkan sekitar Lembah Klang ini kotor serta jijik, kebanyakan pekerjanya pula hanya berseluar pendek dan tidak memakai apron serta penutup kepala.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPS, Dr Razif Zainol Abidin berkata, tindakan ke atas premis pembuatan mi itu dilakukan masuk kali ketiga, sebelum kali pertama diserbu Oktober tahun lalu.

Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Gombak turut melakukan operasi sama pada bulan lalu, namun tahap kebersihan premis terbabit masih kotor dan tidak memuaskan.

“Lantai premis berair, licin dan kotor disebabkan tiadanya sistem saliran sempurna disediakan pemilik. Selain itu, pekerjanya tidak memakai uniform sempurna dengan apron dan penutup kepala serta penutup hidung.

“Keadaan premis ini memang kotor, namun ia lebih baik berbanding sebelum ini. Bagaimanapun kali ini kita tetap mengambil tindakan penutupan selama dua minggu,” katanya.

Razif berkata demikian selepas mengetuai operasi berkaitan susulan aduan penduduk berkenaan kilang mi kotor disiarkan akhbar ini 20 Mac lalu, berkaitan premis terletak di jalan utama, Taman Perindustrian Ehsan Jaya, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menegur wakil pengusaha berikutan keadaan pintu masuk ke dua pintu masuk utama yang juga kotor dan berbau busuk dari longkang dan bekas sampah berhampiran.

Bagaimanapun, wakil pengusaha berkenaan memaklumkan premis kilang berhampiran turut menyumbang pembuangan sisa ke dalam longkang dan kawasan di situ menyebabkan timbul masalah berkenaan.

Makanan di atas lantai

Wakil pemilik ketika ditemui semasa operasi dilakukan di premis terbabit tidak menafikan pernah memberitahu akan berpindah ke kawasan lain sejak tahun lalu, namun mengambil masa kerana mencari lokasi sesuai.

Dia memberitahu demikian ketika ditegur tindakan berikutan peletakan stok makanan sudah siap dibungkus seperti mi, kuew teow dan ‘yee mi’ di dalam kuantiti yang banyak di atas lantai.

Tinjauan juga mendapati, sisa makanan seperti beras bagi membuat mi berkenaan dan kulit telur dibuang ke dalam longkang.

Bekas beras hendak diproses juga diletakkan hanya dalam besen plastik di atas lantai begitu sahaja dan terdedah, selain keadaan tandas premis yang tiada sistem pengudaraan baik serta terlalu kotor.

Difahamkan, tindakan penutup premis itu diambil mengikut tiga Seksyen Undang-undang Kecil (UUK) di bawah kesalahan Seksyen 27, Sisa Makanan Atas Lantai dan Seksyen 19 (1)(d) Sisa Makanan Dibuang Ke Dalam Longkang.

Kesalahan mengikut UUK sama ini juga adalah di bawah Seksyen 8(5) di mana setiap pengendali makanan perlu memakai penutup kepala dan apron.

Selain penutupan premis, tindakan kompaun RM1,000 boleh dikenakan bagi setiap satu kesalahan mengikut seksyen berkaitan.

Difahamkan, pantauan dari masa ke semasa akan dibuat pihak Jabatan MPS, sepanjang tempoh penutupan ini.

Premis steamboat ditutup

Dalam pada itu, mengulas laporan Sinar Harian bertarikh 16 Februari lalu berkenaan pengusaha steamboat menggunakan lidi terpakai di kawasan Prima Selayang, Razif memaklumkan tindakan berhubung laporan sudah diambil.

“Pemeriksaan telah dijalankan pada 22 Februari lalu mendapati premis ini berada dalam keadaan tidak bersih dengan rating kebersihan 38 peratus. Pihak jabatan telah mengarahkan penutupan selama empat hari bagi pemilik premis menjalankan kerja pembersihan.

“Antara kesalahan dilakukan pemilik kilang tersebut ialah terdapat pekerja tidak mengamalkan ciri pengendali makanan dengan baik, seperti berkuku panjang, tidak memakai topi apron, memakai cincin dan gelang,” katanya.

Menurutnya, penyediaan makanan di situ juga didapati dilakukan di atas lantai yang licin dan bertakung air, selain keadaan premis yang sesak serta tidak teratur.

Premis steamboat itu kini sudah boleh beroperasi selepas didapati mematuhi penetapan dan pantauan oleh Unit Kawalan Mutu Makanan, Jabatan Kesihatan MPS.

Sinar Harian/-

3 ulasan:

zaminc berkata...

kenapa setiap kali berita dikeluarkan, nama kilang tu tak diberitahu?
macam mana pengguna nak hindari dari menggunakan bahan2 makanan tersebut?

Tanpa Nama berkata...

Yer lar... sebelom nk kuarkn artikel ni pon kena r selidik dulu atau tambah sket, apa nama pengilang ni... buat aku konpius r....

Tanpa Nama berkata...

cari mkn sama2