02 Mac 2011

Kumpulan Terakhir 18 Rakyat Malaysia Dari Libya Selamat Tiba

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEPANG 2 MAC : Kumpulan terakhir seramai 18 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Libya, selamat tiba di tanah air hari ini.

Mereka yang kebanyakannya bekerja di negara terbabit berlepas dari Rome, Itali pada pukul 12.20 tengah hari semalam dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH015, yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.26 pagi.

Sebelum ini mereka berada di Tunisia setelah terkandas di Tripoli, Libya, dan tiba di Rome melalui pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Mereka merupakan kumpulan ketiga rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke tanahair ekoran krisis yang sedang berlaku di Libya selepas 98 orang selamat tiba dua hari lepas dan lapan orang semalam.

Ketibaan kumpulan itu disambut gembira anggota keluarga masing-masing dan pihak pengurusan syarikat pekerja-pekerja tersebut, Ranhill Berhad yang setia menanti seawal pukul 5 pagi.

Rata-rata mereka yang ditemui berasa gembira dan bersyukur kerana selamat kembali ke tanah air setelah melalui pengalaman menakutkan dan sukar dilupakan ekoran rusuhan rakyat Libya terhadap pemimpin mereka.

Fairuz Abdullah, 28, yang baru bertugas di Libya selama enam bulan, berkata pengalaman melihat tindakan agresif askar negara itu memukul orang ramai yang berebut-rebut untuk masuk ke Lapangan Terbang Tripoli adalah paling mengejutkan.

Katanya ada di antara orang ramai yang mengalami kecederaan dan pengsan akibat dipukul kerana cuba memotong barisan semasa hendak memasuki lapangan terbang.

"Saya terpaksa menunggu sehingga tiga jam dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk sebelum dibenarkan masuk dan keadaan di kawasan itu memang sesak dan sukar dikawal," katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada keadaan yang tidak diingini berlaku kepada kumpulan rakyat Malaysia dan menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia dalam menguruskan proses membawa pulang rakyatnya adalah yang terbaik dan berjalan lancar.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: