18 Mac 2011

P'raya Sarawak: Kerusi PAS hampir selesai

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak kini berada di tahap akhir, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Beliau yang kini berada di Kuching ketika dihubungi Harakahdaily berkata, pembahagian kerusi khususnya untuk PAS, hampir selesai.

"Masih dalam perbincangan dan PAS sudah ada beberapa kerusi untuk ditandingi. PAS tidak banyak yang bertindih, cuma sekarang perbincangan peringkat akhir," katanya yang hadir ke sana atas tujuan itu.

Katanya, kesemua urusan pembahagian itu akan selesai dalam masa terdekat memandangkan spekulasi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan dibubar bertiup kencang.

Apatah lagi semalam berlaku pertemuan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri.

Ada pihak mendakwa dalam pertemuan itu Abdul Taib telah menyatakan hasrat pembubaran Dun kepada Yang Dipertua Negeri.

Spekulasi itu turut mendakwa Dun Sarawak kemungkinan dibubarkan pada 21 Mac ini dan pilihan raya dilangsungkan pada 16 April sementara 9 April adalah hari penamaan calon.

Ianya diperkuatkan lagi dengan lawatan serentak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri Bumi Kenyalang itu pada Sabtu ini yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri.

Mengulas mood rakyat Sarawak ketika ini, Nasharuddin yang sebelum ini hadir melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Miri berkata, rata-rata mereka mahukan perubahan.

"Mereka seperti menanti kehadiran pilihan raya negeri ini. Kita dapat dengan dari perbualan-perbualan mereka.

"Sokongan kepada Pakatan Rakyat saya kira Alhamdulillah baik, malah pada pelancaran DHPP sebelum ini juga turut disertai suku kaum Dayak," katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, PAS telah pun memulakan gerak kerja pilihan raya di kawasan-kawasan yang dijangka akan ditandingi mereka sejak beberapa bulan lalu.

Media pro-Umno semalam menggambarkan wujud perpecahan teruk dalam parti komponen Pakatan Rakyat ekoran 'perebutan' kerusi yang bakal ditandingi.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semalam berkata, proses tawar-menawar antara parti kompenen itu adalah biasa namun yakin proses itu akan diselesaikan dengan segera.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah .

1 ulasan:

Awanama berkata...

"Mengulas mood rakyat Sarawak ketika ini, Nasharuddin yang sebelum ini hadir melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Miri berkata, rata-rata mereka mahukan perubahan."

MEMANG ORG MALAYA INI BUTA POLITIK SARAWAK
TUAN2 INGAT MUSLIM DI SARAWAK SAMA POPULASINYA DENGAN MALAYA KAH?

INGAT SAUDARA SEAGAMA....
MUSLIM DI SARAWAK MINORITI
KALAULAH KEPIMPINAN ISLAM DI SARAWAK DITUMBANGKAN
SAUDARA2LAH ORANG AKAN DIPERTANGGUNGJAWABKAN
DI DUNIA SAMPAI AKHIRAT

MASIHKAH KAU INGAT???
KENAPA UMNO TERPAKSA MASUK KE SABAH SUATU KETIKA DAHULU
MASIHKAH KAU INGAT????
MASIHKAH KAU INGAT???

JANGAN TERMAKAN UMPAN!
MEMANG KAUM LAIN MENUNGGU SAAT DAN TIKANYA
KEPIMPINAN ISLAM DI SARAWAK DITUMBANGKAN

ADAKAH SAUDARA NAK BERSEKONGKOL UNTUK MENJATUHKAN SAUDARA SEAGAMA????

"PIKIR DULU SEBELUM BUANG"