12 April 2011

13 ditahan kes pintasan kad kredit

08 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 individu termasuk tujuh orang posmen dan seorang pembantu am Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pintasan dan pemalsuan kad kredit membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Mereka yang berumur lingkungan 25 dan 40 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Cheras, secara berasingan di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, dari 1 hingga 9 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata selain pekerja Pos Malaysia dan JPN, lima lagi yang ditahan adalah penganggur yang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita.

"Semua mereka disyaki terlibat dalam kegiatan ini sejak 2009. Tangkapan pertama telah dibuat pada 1 April lepas, apabila seorang lelaki berumur 37 tahun ditahan di Pejabat Pos Taman Shamelin, Cheras," katanya.

Amar Singh berkata lelaki itu ditahan kerana cuba mengambil bungkusan yang mengandungi kad kredit yang didaftarkan atas nama seorang wanita.

"Pejabat Pos telah menghubungi wanita itu yang menafikan dia telah mendapat kad kredit yang dipohonnya.

"Pemeriksaan mendapati, suspek turut menggunakan kad pengenalan palsu atas nama pelanggan (wanita) itu bagi menuntut bungkusan kad kredit berkenaan," katanya.
Bertindak atas maklumat itu, polis kemudian menahan lelaki terbabit dan pemeriksaan ke atasnya, polis menemui 10 keping kad kredit pelbagai bank yang dipercayai palsu.

"Sindiket itu akan menggunakan posmen bagi memintas kad kredit mangsa dan posmen terbabit akan dibayar upah antara RM50 sehingga RM100 bagi satu kad kredit yang berjaya dipintas," katanya.

Beliau berkata sindiket itu kemudian akan mengeluarkan cip yang ada pada kad kredit asal dan meletakkan pada kad kredit lain.

"Seterusnya kad kredit asal akan ditampal dengan cip yang palsu sebelum kad kredit itu dipulangkan semula kepada pemilik secara pos.

"Suspek yang bekerja di JPN pula akan mengesahkan identiti sebenar pemilik kad kredit itu sebelum kad itu disahkan dan seterusnya dapat digunakan kumpulan terbabit," katanya.

Susulan penahanan semua suspek itu, polis turut berjaya merampas sebuah kereta, 19 telefon bimbit dan 11 sampul surat yang mengandungi kad kredit. - BERNAMA

Tiada ulasan: