18 April 2011

Najib Semakin Hilang Kredibiliti Sebagai Pengerusi Umno-BN, Kata Tian

14 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 18 APRIL : Naib Presiden PKR, Tian Chua berpendapat episod 'pengunduran Taib' merupakan bukti hilangnya kredibiliti Pengerusi Umno-Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir kepimpinan parti itu.

Tian Chua berkata, sebagai pemimpin yang menjaga hubungan sesama parti komponen BN Najib boleh sahaja meminta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abd Taib Mahmud untuk berundur sebaik sahaja selesai proses pilihanraya negeri itu Sabtu lalu bagi memantapkan sokongan BN dan bukan sebaliknya.

"Saya nampak perkara ini memperlihatkan Najib sudah hilang kredibilitinya serta beliau juga telah merosakkan perhubungan dikalangan anggota BN. Itu lebih besar dari masalah Taib kekal atau tidak. Najib sepatutnya suruh dia (Taib) turun selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak," kata Tian Chua ketika dihubungi Tv Selangor.

Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Manakala Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.

Sementara Bebas memenangi satu kerusi.

Taib mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak malam Sabtu lalu bagi menerajui kepimpinan kerajaan negeri yang dipegangkan sejak 1981 sebaik sahaja selesai proses pengiraan undi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak selesai kira-kira jam 9.45 malam.

Kenyataan Taib bahawa beliau akan mentadbir Sarawak untuk separuh penggal lagi bercanggah dengan apa yang Najib cuba sampaikan bahawa Ketua Menteri Sarawak itu akan berundur selepas pilihan raya negeri ketika siri kempenya.

Tambah Tian, beliau langsung tidak terkejut jika Taib akan bertindak balas terhadap Najib yang dilihat cuba memaksanya berundur sedangkan dia belum benar-benar bersedia untuk melepaskan tampuk pemerintahanya.

"Tapi Najib telah dedahkan niat beliau untuk lakukan 'coup d'etat' semasa kempen pilihanraya bahawa Taib harus undur diri. Sebagai pemimpin, beliau tidak patut berbuat demikian. Oleh itu, saya percaya Taib akan lakukan sesuatu untuk sabotaj Najib pada masa akan datang,"kata Tian lagi.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: