23 April 2011

Tegur Bising Kereta dibakar

19 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

HANGUS...Ab Kadir menunjukkan bahagian hadapan keretanya yang dibakar.



HULU KLANG: Akibat menegur perbuatan sekumpulan remaja membuat bising dan mengganggu lalu lintas di Taman Permata, di sini, seorang ahli perniagaan menanggung kerugian kira-kira RM20,000 apabila bahagian depan kenderaan pacuan empat rodanya dibakar.

Teguran lelaki berusia 57 tahun itu menimbulkan kemarahan kumpulan remaja terbabit yang dipercayai Mat Rempit sebelum mereka bertindak agresif menyimbah petrol dan membakar kenderaan lelaki itu.

Mangsa, Ab Kadir Mahmood, berkata dia menegur kumpulan remaja itu dua minggu lalu sebelum menyedari keretanya dibakar sejurus selepas menerima panggilan daripada isterinya kira-kira jam 5 pagi, 15 April lalu.

“Ketika menerima panggilan itu, saya baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Saya terkejut apabila kebakaran itu menyebabkan hadapan kereta saya hangus.

“Kejadian itu disedari jiran saya sebaik terdengar beberapa letupan kecil dan bau hangus. Mereka bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, jirannya itu terkejut apabila melihat keretanya dijilat api.

“Saya tidak bermusuh dengan sesiapa dan tindakan menegur kumpulan remaja terbabit tanpa meninggikan suara. Ketika itu, mereka berdiam diri dan mendengar semua teguran.

“Tidak sangka, dua minggu selepas menegur mereka, bahagian hadapan kereta saya dibakar. Kini saya tidak lagi melihat mereka melepak di kawasan itu dan dipercayai berpindah ke kawasan lain,” katanya.

Abd Kadir membuat laporan pada hari sama di Balai Polis Taman Melawati, kira-kira jam 10 pagi. Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Tiada ulasan: