06 Mei 2011

Empat maut, dua parah lawan arus

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KERETA Proton Saga dipandu Wee, remuk dalam kemalangan membabitkan dua motosikal, lori dan kereta di Kilometer 11 Jalan Pasir Mas Tanah Merah di Kampung To’ Uban, kelmarin.

Motosikal bertembung dilanggar dua lori

PASIR MAS: Berpunca menunggang motosikal melawan arus, empat maut dan dua parah dalam kemalangan membabitkan masing-masing dua motosikal, lori dan kereta di Kilometer 11 Jalan Pasir Mas Tanah Merah di Kampung To’ Uban, di sini, malam kelmarin.

Kejadian 7.20 malam itu berlaku apabila motosikal ditunggang dua beranak, Ariff Che Mohd Zain, 35, bersama anaknya Alif Azhar Ariff, 12, menentang arus menyebabkan mereka bertembung dengan motosikal ditunggang dua sepupu, Chik Samsudin Mat Ghapar, 16 dan Mohd Faizal Fakaruddin, 16.

Berikutan kemalangan itu, dua lori dari arah sama tidak sempat mengelak sehingga menggilis tiga mangsa, Ariff, Chik Samsudin dan Mohd Faizal.
Ketiga-tiga mereka meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, dalam masa sama, sebuah kereta Volvo dipandu Huzaiudi Zainal Abidin, 36, dari Tanah Merah ke Pasir Mas cuba mengelak daripada melanggar mangsa di tempat kejadian.

Bagaimanapun, kereta itu bertembung kereta Proton Saga dari arah bertentangan menyebabkan pemandu kenderaan terbabit Wee Thai Kit, 40, maut di tempat kejadian.
Dua mangsa yang parah ialah Alif Azhar dan Huzaiudi.

“Semua mangsa meninggal kerana kecederaan teruk di kepala dan badan, manakala yang tercedera dihantar ke Hospital Pasir Mas dan kes ini akan disiasat mengikut Akta 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, abang Chik Samsudin, Khairin Fakaruddin, 18, berkata, beliau terkilan kerana adiknya tidak sempat bertemu ibu yang kini berada di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Chik Samsudin sering bertanya bilakah ibu mereka akan pulang daripada menjaga kakaknya yang bersalin di ibu negara.

Bapa Wee Tai, Wee Kan Hai, 69, berkata, ketika kejadian itu beliau dalam perjalanan ke rumah anaknya tapi tidak menyangka anaknya pula terbabit dalam kemalangan maut itu.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: