31 Mei 2011

Inter juara Piala Itali

28 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



ROME: Inter Milan menewaskan Palermo 3-1 di Stadio Olimpico semalam untuk merangkul gelaran Piala Itali sekali gus menyelamatkan aksi hambar mereka sepanjang kempen musim ini.

Samuel Eto’o muncul wira Inter apabila menjaringkan dua gol untuk menambah koleksi jaringannya kepada 37 gol dalam semua pertandingan musim ini sekali gus mengatasi rekod terdahulu dengan kelebihan satu gol.

“Dalam bola sepak, apa yang paling penting ialah menang. Tanpa kemenangan, rekod saya tidak akan memberi sebarang makna,” kata ketua pasukan Cameroon itu.

Bagi jurulatih Inter, Leonardo, ia adalah trofi pertama yang berjaya diraihnya selepas membimbing pasukan itu.

“Ini adalah keputusan yang sangat memuaskan bagi saya serta Inter selepas melalui musim yang turun naik,” kata pengendali dari Brazil itu.

“Menamatkan musim ini dengan dua trofi sememangnya satu keputusan yang amat menakjubkan,” katanya merujuk kepada saingan Kelab Piala Dunia yang dimenangi Inter pada Disember lalu ketika di bawah kendalian Rafael Benitez.

Ezequiel Munoz menyumbat gol pada lewat permainan untuk menghidupkan semula harapan Palermo, namun Diego Milito mengesahkan kemenangan buat Inter pada masa kecederaan. - AFP “Kami sudah melakukan yang terbaik tapi ia masih belum mencukupi. Jelas pasukan yang lebih berpengalaman memenangi saingan ini,” kata jurulatih Palermo, Delio Rossi.

Pemain tengah Palermo, Giulio Migliaccio berkata: “Kami wajar untuk berasa bangga meskipun kalah kerana sudah memberikan segala-galanya, namun lawan ternyata mempunyai barisan pemain lebih hebat.” 

AFP

Tiada ulasan: