17 Mei 2011

Lelaki rebah

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



ALOR SETAR: Seorang lelaki yang didakwa bersubahat dengan bekas isterinya menculik seorang bayi lelaki di Hospital Sungai Petani (HSP) enam tahun lalu, tiba-tiba rebah selepas Mahkamah Tinggi di sini, menolak rayuannya semalam, dan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun terhadapnya yang dijatuhkan sebelum ini.

Tertuduh, Muhamad Sabri Sabidin, 36, yang sugul sejak awal perbicaraan semalam, terpaksa dipapah beberapa anggota polis memasuki bilik tahanan selepas keputusan rayuannya diketahui.

Selain tertuduh, bekas isterinya, Noraini Mat Zainol, 31, yang juga bekas jururawat HSP dikenakan tahanan di Hospital Bahagia, dekat Tanjung Rambutan, Perak kerana disahkan menghidap masalah mental. Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abd Wahab menetapkan tempoh membuat rayuan dalam masa tujuh hari manakala wang jaminan dinaikkan dari RM5,000 kepada RM10,000 dengan seorang penjamin selepas peguam bela C Shanmugiah meminta penangguhan hukuman terhadap Mohd Sabri sementara pihaknya mengemukakan rayuan. Noraini diwakili peguam, M Chandran manakala pihak pendakwaan diwakili Datuk Razali Che Ani.

Pada 7 September tahun lalu, Noraini dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan manakala Muhamad Sabri dikenakan hukuman penjara tiga tahun selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada 5 Julai 2005 atas tuduhan menculik seorang bayi lelaki pada 19 Jun 2005 di HSP. Mereka yang ketika itu masih suami isteri bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Ainy Suhailah Yunus. Pada 23 Jun 2005, pasangan itu ditahan anggota polis yang menyerbu rumah mereka di Kampung Teluk Wang Kecil, Sungai Petani dan menemui seorang bayi lelaki yang kemudiannya disahkan sebagai Nor Syabil Syakirin iaitu anak kepada pasangan Mohamad Nordin Derais, 34, dan ibunya, Noryati Abu Bakar, 31 selepas menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Tiada ulasan: