06 Mei 2011

Pencarian tetap diteruskan, guna kaedah alternatif

02 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SEREMBAN – Pencarian seorang lagi kanak-kanak dipercayai mati lemas di Hutan Lipur Ulu Bendul, akan diteruskan sehingga kanak-kanak itu ditemui.

Bapa saudaranya, Wan Aziz Wan Abdullah, 38, berkata, pihaknya kini berusaha mencari Nur Syaza Sakinah, 2, dengan menggunakan kaedah alternatif, selain menggunakan khidmat pasukan penyelamat.

Menurutnya, melalui seorang pakar perubatan tradisional ditemui, mangsa kemungkinan besar ditimbus pasir, atau berada di celah batu di Hutan Lipur itu.

“Memandangkan saiz badan Sakinah lebih kecil berbanding kakak-kakak-nya, maka kemungkinan besar dia tertimbus di sebalik pasir.

“Pasukan penyelamat telah dimaklumkan tentang perkara ini, dan pihak mereka kini berusaha mencari mangsa di seluruh kawasan berkenaan,” katanya.

Aziz berkata, walaupun sehingga kini masih belum ada sebarang tanda, namun beliau sekeluarga berdoa berharap Sakinah dijumpai tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin dalam kunjungannya bertemu ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, berharap apa yang berlaku dengan keluarga ini dapat dijadikan iktibar.

“Saya simpati dengan apa yang berlaku terhadap keluarga ini,” katanya.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: