18 Mei 2011

Pesara polis maut terjatuh tingkat 16 hotel elak dicekup pegawai Jawi

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah hotel di ibu negara ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) yang melakukan operasi cegah maksiat di hotel berkenaan awal pagi Selasa.

Ketika cuba melarikan diri melalui tingkap biliknya yang terletak di tingkat 16 hotel itu di mana dia menginap dengan pasangannya, mangsa yang berumur 49 tahun itu terjatuh di beranda tingkat lima bangunan dalam insiden kira-kira 2 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman yang dihubungi hari ini mengklasifikasikan kematian itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata mangsa mati serta-merta di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Zulkarnain berkata pihak Jawi telah mengambil keterangan daripada pasangan mangsa yang dipercayai janda berumur lingkungan 40-an untuk membantu siasatan dan beliau enggan mendedahkan identiti pasangan terbabit. BERNAMA

1 ulasan:

nuansa pena berkata...

Rasia di hotel perlu dilakukan secara acak dan rahasia!