05 Mei 2011

Selangor Cadang Wujud Tabung Bencana

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mewujudkan tabung warisan bencana alam dengan peruntukan dana sebanyak RM50 juta bagi menampung perbelanjaan menghadapi bencana di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penubuhan kumpulan tabung berkenaan disifatkan sebagai insurans kepada rakyat Selangor sekiranya berlaku insiden bencana alam.

Menurut beliau cadangan penubuhan tabung tersebut akan dibentangkan di Dewan Udangan Negeri (DUN) Selangor yang akan bersidang bermula 11 Julai depan.

"Penubuhan tabung ini adalah satu usaha kerajaan negeri untuk menentukan bahawa pentadbiran negeri akan menjaga kepentingan rakyat bagi menampung perbelanjaan bencana-bencana alam," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan SUK di sini, Rabu.

Tambah beliau menerusi tabung berkenaan, kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana alam dengan lebih sitematik berbanding hanya menerusi belanjawan kecemasan sebelum ini.

"Walaupun pada masa sekarang kerajaan telah memperuntukan belanjawan untuk perbelanjaan kecemasan seperti banjir, tapi ini tidak cukup.

"Sekarang kita akan peruntukan dana untuk disimpan dan diuruskan supaya apabila berlaku bencana alam yang kita anggap satu yang besar, kita boleh keluarkan dana tersebut," katanya.

Jelas Abdul Khalid, tabung berkenaan akan diuruskan olah jawatankuasa khas yang akan diketuai oleh pegawai kewangan negeri.

"Ia juga akan turut dibantu oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri yang akan membentangkan mengenai tabung berkenaan kepada exco dari masa ke masa," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan turut menubuhkan pasukan sukarelawan bagi menghadapi bencana, Abdul Khalid berkata perkara tersebut termasuk sebagai sebahagian daripada peruntukan penubuhan tabung berkenaan.

"Ia sebahagian daripada usaha tabung ini, ada beberapa peruntukan untuk menyediakan sukarekawan yang akan digerakan untuk memberi bantuan.

"Tapi ini tidak termasuk dalam belanja tabung ini," katanya.

mStar/-

Tiada ulasan: