22 Jun 2011

Anggota penguatkuasa JPJ maut dirempuh kereta

20 Rejab 1432H. [MOD] -

NILAI: Seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang memeriksa sebuah lori yang rosak di Jalan Nilai-Batang Benar, berhampiran stesen komuter Batang Benar di sini, hari ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Saiful Azzri Hamzah berkata, Wardi Ahmad, 28, meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), akibat cedera parah di kepala dan badan manakala pemandu kereta yang dikenali sebagai Ismail Dahlan, 44, meninggal dunia beberapa jam selepas menerima rawatan di hospital yang sama akibat cedera parah di kepala dan badan.

Kejadian itu berlaku semasa Wardi bersama tiga lagi rakan setugasnya yang menaiki sebuah pacuan empat roda memberhentikan kenderaan di bahu jalan bersebelahan dengan sebuah lori yang rosak untuk melakukan pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi.

"Tiba-tiba, sebuah kereta dikatakan hilang kawalan lalu merempuh lori dan kenderaan pacuan empat roda milik JPJ dari arah belakang sebelum merempuh Wardi yang ketika itu sedang berdiri di belakang kenderaan JPJ menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan anggota badan," katanya.

Saiful Azzri berkata, tiga lagi anggota JPJ dan pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa akan dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian. - BERNAMA

Tiada ulasan: