06 Jun 2011

Drebar teksi mengadu disamun wanita

4 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dikatakan mampu memukau beberapa pemandu teksi di ibu kota dengan hanya menggunakan semburan minyak wangi sebelum menyamun mereka.

Wanita berusia awal 30-an itu dikatakan menahan mana-mana teksi dan meminta pemandu berhenti di kawasan sunyi sebelum menyembur minyak wangi sehingga mangsa tidak sedar apa yang berlaku.

Seorang pemandu teksi, Abdullah Talib, 46, berkata, dia kehilangan beberapa barangan berharga termasuk wang tunai dan telefon bimbit selepas disamun wanita terbabit.

“Teksi saya ditahan seorang wanita waktu malam dan tiba-tiba dia meminta saya memberhentikan kereta di kawasan sunyi berhampiran stesen LRT Sentul sebelum menyembur minyak wangi.

“Saya tidak ingat apa yang berlaku tetapi sebaik tersedar, saya dapati semua wang termasuk dompet dan telefon bimbit hilang, malah selepas itu saya turut mendapat maklumat beberapa rakan turut disamun dengan taktik yang sama di lokasi berlainan,” katanya yang ditemui di Kampung Baru di sini, semalam.

Abdullah bersama beberapa pemandu teksi lain sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan pelbagai masalah yang membelenggu mereka.

Selain kisah dipukau dan disamun, pelbagai masalah lain diajukan kepada Muhyiddin termasuk terdapat beberapa lokasi di ibu negara yang dikawal kumpulan teksi tertentu sehingga menyukarkan pemandu teksi lain mencari rezeki di situ.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah berkata, dalam pertemuan itu, Timbalan Perdana Menteri menasihatkan supaya semua persatuan pemandu teksi duduk semeja dan membincangkan isu dihadapi termasuk kepentingannya kepada orang awam atau penumpang.

“Timbalan Perdana Menteri menasihatkan kami supaya mengemukakan memorandum yang mengandungi semua masalah kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan perkara ini yang akan kami lakukan,” katanya.

Tiada ulasan: