24 Jun 2011

Gaddafi ulangi tak takut mati

22 Rejab 1432H. [MOD] -

TRIPOLI - Pemimpin Libya Muammar Gaddafi (gambar) kelmarin menyampaikan ucapan audio menyatakan beliau tidak takut untuk mati walaupun keadaannya kini ibarat telur di hujung tanduk.

Pemimpin veteran berusia 69 tahun itu turut menegaskan bahawa perang terhadap 'tentera salib' Barat akan berterusan.

"Kami akan memberikan tentangan dan perang akan berterusan sehingga ke akhirnya sehingga anda semua dihapuskan (Barat). Namun kami tidak akan tewas," kata Gaddafi dalam mesej yang disiarkan stesen televisyen Libya bagi memperingati seorang rakannya, Khuwildi Hemidi yang kehilangan beberapa anggota keluarga selepas kediamannya di bom jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Isnin lalu.

"Tiada lagi sebarang persetujuan selepas anda membunuh anak cucu kami, keadaan kami kini getir ibarat telur di hujung tanduk. Anda (Barat) pulang ke tempat anda," tambah Gaddafi.

NATO mengakui jet-jet pejuangnya pada Isnin lalu mengebom bandar Sorman di barat Tripoli tetapi menegaskan bahawa serangan tersebut bertujuan untuk memusnahkan sasaran ketenteraan.

Jurucakap pemerintah Libya, Mussa Ibrahim berkata, 15 orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan itu yang dikutuk sebagai "perbuatan bacul pengganas yang tidak mempunyai justifikasi,".

Mussa memberitahu, serangan tersebut disasarkan di kediaman milik Khuwildi yang merupakan sahabat karib Gaddafi.

NATO menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya pada April lalu untuk melindungi orang awam daripada menjadi mangsa keganasan tentera Gaddafi.

Rakyat negara Afrika Utara yang kaya dengan hasil minyak itu bangkit menentang Gaddafi pada pertengahan Februari lalu kerana menuntut pembaharuan politik dan ekonomi selain menuntut pemimpin tersebut meletakkan jawatan. - AFP

Tiada ulasan: